PRN Sabah: BN belum putus kerjasama

Politik

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) belum ada keputusan rasmi dicapai bagi mewujudkan sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, buat masa ini, rundingan masih dilakukan dengan pelbagai pihak.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk dengan pelbagai gabungan parti-parti politik di Sabah.

“Tapi setakat ini rundingan tetap diteruskan dengan ramai pihak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka, Lebaran Kasih Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria, di sini malam ini.

Katanya, beliau mengingatkan kepada semua pemimpin parti supaya mencapai keserasian terlebih dahulu antara mana-mana parti gabungan sebelum sebarang pengumuman rasmi dilakukan.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan akan mengadakan kerjasama dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN17.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah memaklumkan, perkara itu telah dimuktamadkan pada pemukiman UMNO Sabah akhir tahun lalu.

Katanya, perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin PH Sabah juga sudah beberapa kali diadakan dan ia akan disusuli perbincangan secara rasmi dalam masa terdekat berikutan jangkaan PRN17 yang sudah semakin dekat. – UTUSAN