Alcaraz takluk Monte Carlo

Sukan

MONTE CARLO: Carlos Alcaraz membuktikan keunggulannya di gelanggang tanah liat apabila bangkit menewaskan Lorenzo Musetti dalam tiga set untuk merangkul gelaran sulung Masters Monte Carlo di Monaco, sebentar tadi.

Biarpun tewas set pertama 3-6, pemain Sepanyol berusia 21 tahun itu mempamerkan kebangkitan luar biasa dengan menundukkan Musetti 6-1, 6-0 dalam dua set berikutnya.

Kemenangan itu menghadiahkan Alcaraz kejuaraan Masters keenam dalam kariernya, sekali gus menjadi gelaran paling berprestij sejak menjuarai Wimbledon tahun lalu.

“Ia minggu yang sangat sukar dengan pelbagai cabaran, saya sangat bangga dengan diri sendiri dan kerja keras ini akhirnya berbaloi.

“Sudah sebulan saya lalui detik mencabar di dalam dan luar gelanggang, jadi kemenangan ini sangat bermakna buat saya,” kata Alcaraz.

Alcaraz kini melonjak ke ranking No. 2 dunia, memintas Alexander Zverev dan hanya di belakang Jannik Sinner yang kini digantung perlawanan.

Perlawanan akhir ini bukan mudah kerana Musetti yang bermain final Masters 1000 pertamanya sebelum ini menyingkirkan dua pemain top 10, Stefanos Tsitsipas dan Alex de Minaur.

Namun selepas set kedua, Musetti dilihat bergelut dengan kecederaan kaki kanan dan walaupun berjuang, dia gagal menyaingi kekuatan fizikal dan tempo pantas Alcaraz.

Meskipun tewas, Musetti boleh berbangga dengan lonjakan ke ranking No. 11 dunia dan bersedia menggegar lagi musim tanah liat yang baru bermula. – AGENSI