Liverpool hampir julang takhta

Sukan

LIVERPOOL: Liverpool kini hanya selangkah lagi untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tandukan dramatik Virgil van Dijk memastikan kemenangan 2-1 ke atas West Ham di Anfield, sebentar tadi.

Gol pembukaan Luis Diaz hasil gerakan licik Mohamed Salah hampir dipadamkan sepenuhnya apabila jaringan sendiri Andrew Robertson pada minit ke-86 menyamakan kedudukan buat pelawat.

Namun Van Dijk menebus kesilapannya apabila melonjak tinggi untuk menyambut sepakan sudut Alexis Mac Allister tiga minit sebelum tamat perlawanan, sekali gus menyemarakkan harapan kejuaraan ke-20 Liverpool.

Skuad kendalian Arne Slot kini mendahului Arsenal dengan kelebihan 13 mata dan hanya memerlukan enam mata lagi untuk memastikan kejuaraan mutlak musim ini.

Jika Arsenal tewas kepada Ipswich dan Liverpool menundukkan Leicester pada 20 April ini, gelaran rasmi akan menjadi milik The Reds lebih awal daripada jangkaan.

Kemenangan itu juga memadam kekecewaan tiga kekalahan dalam empat aksi terakhir, termasuk kegagalan dalam final Piala Liga dan penyingkiran Liga Juara-Juara kepada Paris Saint Germain (PSG).

Sementara itu, nasib berbeza terus menimpa Tottenham Hotspurs apabila tewas 4-2 di tangan Wolves dalam aksi yang menyaksikan pengendali mereka, Ange Postecoglou semakin hampir ke pintu keluar.

Wolves yang tampil bertenaga di hadapan penyokong sendiri membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi rembatan Rayan Ait-Nouri dan terus menghukum kelonggaran pertahanan Spurs sepanjang perlawanan.

Dengan kedudukan merosot ke tangga ke-15 liga dan hanya tinggal harapan tipis di Liga Europa, masa depan Postecoglou kini bergantung sepenuhnya pada aksi timbal balik menentang Eintracht Frankfurt minggu ini. – AGENSI