KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terus dirundung malang apabila tumbang 1-2 di tangan Negeri Sembilan FC pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi sekali gus merekodkan kekalahan ke-20 musim ini.
Kekalahan itu menyaksikan KDN FC terus mengukuhkan kedudukan mereka di dasar Liga Super dengan hanya mengumpul tujuh mata selain menambah koleksi bolos kepada 62 jaringan setakat ini.
Pada perlawanan itu, Negeri Sembilan yang sedang bergelut dengan prestasi tidak menentu musim ini berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-42 menerusi Takumi Sasaki dan jaringan itu kekal sehingga tamat babak pertama..
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan tampil dengan aksi lebih bertenaga untuk menambah koleksi jaringan namun setiap peluang terhidang gagal dimanfaatkan sebaik mungkin.
Minit ke-77, tuan rumah bernasib baik apabila Nasrullah Haniff Johan yang masuk sebagai pemain gantian tertampan bola ke gawang sendiri sekali gus mengikat kedudukan menjadi 1-1.
Nasrullah Haniff tidak mudah hilang fokus, sebaliknya menjadi wira Negeri Sembilan apabila meledak jaringan kemenangan pada masa tambahan sekali gus memberikan tiga mata berharga buat pasukannya.-UTUSAN