Anwar tegaskan tidak boleh guna peruntukan, jentera kerajaan

Politik

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebarang penggunaan jentera dan peruntukan kerajaan selepas penamaan calon pilihan raya adalah tidak dibenarkan.

Perdana Menteri berkata, pengumuman peruntukan sebanyak RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah, termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah dibuat sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecik (PRK) Ayer Kuning.

“Itu sebelum. Kalau selepas (penamaan calon) kita kena beri amaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas katanya ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Kementerian Kewangan bagi bulan April, di sini hari ini.

Sebelum ini, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyelar tindakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming Kor Ming yang  mengumumkan peruntukan itu.

Mereka menyifatkan penyaluran dana dan projek pembangunan ke kawasan yang sedang berdepan pilihan raya adalah satu bentuk penyalahgunaan sumber kerajaan.

Bersih menegaskan pihaknya telah memperkenalkan garis panduan ‘3C’ kepada kerajaan sementara sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 melibatkan larangan tiada syarat, tiada kempen, dan tiada penglibatan calon dalam program rasmi kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya.

Jelas Bersih lagi, garis panduan terbabit diwujudkan bagi memastikan jentera kerajaan tidak disalahgunakan untuk tujuan politik semasa tempoh pilihan raya.

Pengumuman calon Sabtu lalu menyaksikan pertandingan tiga penjur di PRK Ayer Kuning yang bakal berlangsung pada 26 April ini. – UTUSAN