Postecoglou tetap pertahankan prestasi pemain Spurs

Sukan

LONDON: Pengendali Tottenham Hotspurs, Ange Postecoglou tetap pertahankan persembahan pasukannya meskipun tewas buat kali ke-17 dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kekalahan terbaharu adalah tewas 2-4 kepada Wolves di Molineux selepas deretan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pemain Spurs.

Rayan Ait-Nouri membuka tirai jaringan buat Wolves seawal minit kedua sebelum penjaga gol Spurs, Guglielmo Vicario menumbuk bola ke arah Djed Spence, menyebabkan gol sendiri bagi kedudukan 2-0.

Namun, Spurs berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Matys Tel dan Richarlison, namun gawang mereka kembali dibolosi sejurus selepas itu hasil jaringan Jorgen Strand Larsen dan Matheus Cunha.

“Perlawanan yang pelik sebab secara keseluruhan ia sebenarnya agak baik, memandangkan beberapa perubahan yang kami buat.

“Saya rasa kami mengawal sebahagian besar perlawanan dan memberi ancaman di hadapan, tapi kami bolos beberapa gol yang teruk.

“Kami lakukan beberapa kesilapan individu, yang sebenarnya luar biasa bagi kami tapi semuanya berlaku dalam satu perlawanan. Bukan mereka sengaja melakukannya,” kata Postecoglou.

Spurs kini terdampar di tangga ke-15 di EPL susulan prestasi buruk musim ini dan
saingan Liga Europa sebagai peluang terakhir untuk menyelamatkan masa depan Postecoglou sebagai pengurus.

Mereka akan berkunjung ke Eintracht Frankfurt pada Jumaat ini bagi aksi timbal balik suku akhir kedua, selepas terikat 1-1 pada aksi pertama.-AFP