PRK Ayer Kuning: Pemuda UMNO anjur lebih 50 program dekati anak muda

Politik

TAPAH: Pemuda UMNO Perak telah menyusun pelbagai program dengan pengisian menarik bagi mendekati golongan muda pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi berkata, pendekatan santai dan segar menerusi lebih 50 program yang diatur itu diyakini mampu menarik sokongan anak muda kepada calon parti tersebut.

Katanya, pelaksanaan program berkenaan akan dijalankan di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk di tiga PDM di kawasan masyarakat Cina.

“Program yang dijalankan ini adalah mengikut keperluan anak muda di setiap PDM, ia tidak semestinya sama. Antara program yang akan diadakan nanti seperti futsal, memancing dan pertandingan rakyat.

“Kita juga akan mengadakan program berskala besar seperti ‘jom healing’ dan konsert. Di setiap PDM akan disediakan ‘port’ lepak untuk golongan ini duduk santai setiap malam.

“Di sana nanti, anak-anak muda boleh duduk bersama dengan Pemuda untuk berbual dan berbincang. Kita akan dekati golongan ini dan tarik minat mereka untuk sama-sama berkempen pada pilihan raya kali ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Fahmi, selain menyantuni golongan muda secara terus melalui aktiviti, kempen melalui media sosial juga akan diperhebatkan kerana ia lebih mudah sampai ke golongan sasar.

“Paling utama kita mahu santuni mereka dahulu terutama di kawasan-kawasan kampung. Bagi kempen di media sosial pula, kita lebih sasarkan kepada pengundi luar.

“Insya-Allah, dengan gerak kerja kuat dibantu Pemuda UMNO Bahagian dan negeri-negeri serta exco angkat yang ditempatkan di semua PDM, kita yakin BN mampu mengekalkan kemenangan di Ayer Kuning,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan Bawani KS, 40, dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh 14 hari berkempen bermula 12 April dengan pengundian awal PRK pada 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi. – UTUSAN