Arafat kalah pemilihan Ketua Cabang PKR Tambun

Politik

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Tambun selepas tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak.

Berdasarkan keputusan yang dikeluarkan hari ini, beliau menerima 1,233 undi manakala lawannya, Shamsul Kamar Ani menang dengan 1,458 undi.

Keputusan yang dikeluarkan itu telah disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Pemilihan PKR Perak diadakan semalam melibatkan melibatkan 24 Cabang dengan kebanyakan keputusan rasmi hanya diumumkan pada pagi ini.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Cabang Padang Rengas.

Beliau merupakan antara pemimpin kanan parti yang menang dalam pemilihan PKR peringkat negeri Perak yang diadakan semalam.

Antara nama lain yang turut menang ialah Menteri Sains dan Teknologi Malaysia, Chang Lih Kang di Cabang Tanjung Malim; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing (Cabang Gopeng); Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri (Cabang Kuala Kangsar). – UTUSAN