PETALING JAYA: Ekonomi global dijangka mengalami kemelesetan berikutan sentimen perniagaan di Amerika Syarikat (AS) dalam sektor pembuatan dan keyakinan dalam kalangan pengguna merosot dengan drastik.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sebagai contoh, Indeks ISM bagi sektor pembuatan turun di bawah paras 50 mata pada Mac sekali gus menunjukkan sentimen pengeluar di sektor pembuatan adalah pesimistik.
“Begitu juga, keyakinan para pengguna di AS yang turun ke paras 92.9 mata pada Mac menandakan isi rumah dalam mod berhati-hati.
“Justeru, sekiranya keyakinan yang rendah diterjemahkan dalam bentuk penurunan pelaburan barang modal, pengurangan pekerja serta kejatuhan dalam perbelanjaan pengguna, maka risiko kemelesetan di AS semakin meningkat.
“Malah, kemelesetan ekonomi di AS boleh memberi kesan terhadap momentum pertumbuhan ekonomi global memandangkan ekonomi AS adalah yang terbesar di dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kemelesetan ekonomi global boleh berlaku sekiranya China, Kanada, Mexico dan Kesatuan Eropah (EU) membalas dengan menaikkan tarif import ke atas barangan dari AS seperti tindak balas China yang turut menaikkan tarif ke atas barangan AS.
“Presiden AS, Donald Trump telah menaikkan 50 peratus lagi tarif ke atas China. Selain itu, negara China dan AS merupakan dua ekonomi terbesar dunia.
“Ini pasti akan mencetuskan kenaikan inflasi seluruh dunia dan tiada peningkatan ekonomi iaitu ‘stagnant’, lebih tepat lagi ‘stagflation’,” katanya.
Aimi Zulhazmi berkata, disebabkan keadaan ini, jangkaan OPR akan diturunkan sebanyak 25 mata oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada pertengahan tahun ini adalah logik.
Katanya, hal ini kerana ia mampu memberikan dorongan kepada ekonomi domestik negara terutamanya untuk menyerap perubahan iklim perdagangan dunia.
“Ia mungkin tidak memberi kesan besar kepada nilai ringgit berbanding dolar AS kerana mata wang global tersebut dijangka melemah berdasarkan indeks DXY yang mengukur kekuatannya dan pengurangan permintaan penggunaan dolar AS dalam perdagangan dunia,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kemelesetan pasaran saham dunia terus memuncak selepas China ‘membalas’ tindakan AS dengan mengenakan tarif tambahan 34 peratus terhadap semua produk yang diimport dari negara itu bermula 10 April.
Namun, pada 10 April lalu, Presiden AS, Donald Trump menangguhkan pelaksanaan tarif kepada kebanyakan negara bagi tempoh 90 hari kecuali China yang dikenakan tarif sehingga 124 peratus.
Situasi itu dikhuatiri akan mencetuskan perang perdagangan jangka panjang, sekali gus menjejaskan ekonomi global.
Pasaran saham global sudah pun merekodkan kerugian yang besar sejak Trump mengumumkan tarif 10 peratus terhadap barangan import dari semua negara dengan kebanyakan barangan datang dari rakan dagang utama seperti China, EU dan Vietnam. – UTUSAN