Ahli Parlimen Sungai Siput kalah jawatan Ketua Cabang PKR

Politik

IPOH: Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Sungai Siput apabila kalah pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yang menjadi Ahli Parlimen tersebut sejak 2018, menerima 357 undi manakala lawan tunggalnya, K. Novinthen mendapat 389 undi.

Keputusan yang dikeluarkan itu disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR.

Kesavan menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput sejak 2018 dan berjaya mengekalkan kerusinya sebagai wakil rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2022.

Sungai Siput mula menjadi kubu kuat PKR sejak 2008 setelah memecahkan dominasi komponen Barisan Nasional (BN), MIC sejak Kemerdekaan terutama menerusi kepimpinan mendiang Tun S. Samy Vellu.

Mengulas mengenai kemenangannya, Novinthen mahu mengekalkan sikap merendah diri kerana melihat ia kemenangan bersama bagi kemajuan parti tersebut.

“Tanpa menunggu keputusan pemilihan pun, saya tetap buat kerja dari pagi. Mungkin ahli parti mahu memberikan tanggungjawab kepada anak muda,” kata kepada Utusan Malaysia.

Novinthen berusia 41 tahun berkata, beliau kini mahu bekerja kuat untuk memastikan PKR terus mendapat sokongan di Sungai Siput yang merupakan kawasan Parlimen dipimpin oleh wakil rakyat India sejak dari awal. – UTUSAN