PETALING JAYA: Pan Merchant Berhad (Pan Merchant) memperoleh kelulusan dari Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) untuk cadangan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Syarikat kejuruteraan tempatan yang terlibat dalam reka bentuk dan pembuatan penyelesaian penapisan itu memulakan operasi pada tahun 1987 dan merupakan penyedia penyelesaian penapisan pepejal-cecair terbesar di Malaysia dari segi hasil.
Kumpulan tersebut pakar dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan, penghantaran dan pentauliahan mesin penapis dan penapis hermetik yang membawa nama dagangan ‘PMI’ serta reka bentuk dan fabrikasi kapal atau peralatan berasaskan keluli.
Pengarah Urusannya, Wong Voon Ten berkata, sejak tiga dekad yang lalu, pihaknya telah berkembang daripada sebuah syarikat kecil menjadi pemain global, bersaing di peringkat antarabangsa dalam industri penyelesaian penapisan pepejal-cecair.
“Penyenaraian adalah langkah penting yang akan memperkasakan kami untuk mengembangkan keupayaan syarikat dan memenuhi keperluan industri penapisan dan industri pengguna akhir yang lain dengan lebih baik.
“Dengan sumber yang dipertingkatkan selepas penyenaraian, kami bersedia untuk inovasi yang lebih besar melalui aktiviti pembangunan produk dan jangkauan global yang lebih luas melalui pelan pengembangan strategik kami, sekali gus memberikan penciptaan nilai yang lebih kukuh untuk pemegang kepentingan kami,” katanya dalam kenyataan.
Tambah kenyataan itu, kumpulan menyediakan perkhidmatan sokongan teknikal termasuk alat ganti dan perkhidmatan penyelenggaraan untuk pangkalan penapis yang dipasang di seluruh dunia.
Pan Merchant telah mewujudkan kehadiran antarabangsa yang kukuh dengan lebih 80 peratus produknya dieksport ke Asia, Eropah, Amerika dan Afrika.
“Kumpulan mengendalikan pejabat di Malaysia, Singapura, Belanda dan Amerika Syarikat (AS), bersama dengan tiga kemudahan pembuatan di Ipoh, Perak.
“Fasiliti syarikat terletak di atas kira-kira empat hektar tanah dan dilengkapi dengan rangkaian keupayaan pengeluaran yang luas untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran penapisan pepejal-cecair global, yang meningkat daripada RM12.0 bilion pada 2019 kepada RM21.9 bilion pada 2023,” jelasnya.
Menurutnya, tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, Pan Merchant menyasarkan untuk disenaraikan pada suku kedua 2025.
Affin Hwang Investment Bank Berhad ialah penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO kumpulan. – UTUSAN