Amanah lapor polis gesa siasat tauliah mengajar agama calon PN

Politik

TAPAH: Satu laporan polis dibuat terhadap calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, berkaitan dakwaan menipu dalam permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri ini.

Laporan polis itu dibuat Parti Amanah Negara (Amanah) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah sekitar pukul 2.30 petang.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Ahmad Munzirie Kabir berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa terhadap dakwaan berkenaan.

Menurutnya, calon PN terbabit didapati tidak mematuhi syarat pentauliahan mengajar agama kerana memegang jawatan dalam parti politik.

“Saya hadir ke IPD Tapah ini membuat satu laporan rasmi berhubung dakwaan penipuan dalam permohonan tauliah mengajar agama oleh calon PN.

“Calon terbabit dipercayai telah memperoleh tauliah dari Jabatan Mufti Negeri Perak walau sebenarnya tidak layak kerana memegang jawatan politik dan kini bertanding pula dalam pilihan raya.

“Ini bukan sahaja melanggar peraturan sedia ada, malah mengingkari titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku ketua agama Islam negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, isu yang diketengahkan oleh Amanah itu bukanlah perkara remeh kerana ia membabitkan maruah institusi agama, integriti pentadbiran negeri dan kedaulatan Raja Berperlembagaan.

“Sultan Perak juga telah berkali-kali memberi peringatan dan amaran secara terbuka agar institusi agama tidak disalahguna untuk kepentingan politik.

“Maka cubaan untuk memanipulasi proses tauliah adalah satu bentuk penderhakaan terhadap titah dan amanah yang telah diperkenankan baginda.

“Tindakan ini juga berkemungkinan melibatkan pemalsuan maklumat atau dokumen rasmi yang merupakan satu kesalahan jenayah serius,” ujarnya.

Tambahnya, masyarakat khususnya rakyat di negeri ini berhak mengetahui kebenaran dakwaan tersebut dan menolak mana-mana individu yang memperalatkan agama untuk meraih kuasa selain sanggup menipu demi kepentingan diri.

“Isu seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Dia (Abdul Muhaimin) perlu jujur. Bila pegang sesuatu jawatan, dia perlu melepaskan tauliah yang diterima. Dia perlu beritahu penglibatannya dalam politik.

“Setakat ini, dia bukan sahaja tidak beritahu malah sudah pun jadi calon (pilihan raya),” katanya. – UTUSAN