KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperkukuh ekosistem ekonomi domestik bagi menyampaikan naratif perdagangan yang lebih meyakinkan kepada rakan dagang antarabangsa, khususnya menjelang rundingan penting dengan Amerika Syarikat (AS) hujung bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), Datuk Siobhan Das berkata, asas ekonomi yang kukuh amat penting untuk Malaysia menyuarakan nilai perniagaan negara dengan lebih berkesan kepada pihak berkepentingan di AS.
“Malaysia berada dalam kedudukan yang amat baik ketika ini, dengan peluang yang kukuh serta persekitaran yang menyokong bagi syarikat multinasional (MNC).
“Namun, jika kita tidak menjaga ekosistem sendiri, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi sokongan kepada MNC ini, naratif kita di peringkat antarabangsa akan kehilangan kekuatan,” katanya kepada pemberita selepas sesi meja bulat anjuran Bursa Malaysia, Kelab Ekonomi Kuala Lumpur dan CIMB di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan keperluan strategi nasional yang menyeluruh dan selari antara sektor kerajaan dan swasta menjelang lawatan delegasi Malaysia ke Washington pada 23 April ini.
“Kementerian hanya boleh memperjuangkan apa yang dibenarkan oleh ekosistem. Jika kita gagal menunjukkan daya saing dan perpaduan dari dalam negara, suara kita di luar akan menjadi lemah,” katanya.
Siobhan berkata, kedudukan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini turut memperkukuh peranannya dalam menentukan hala tuju ekonomi serantau.
“Walaupun agensi kerajaan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah berusaha melibatkan pemain industri, kerjasama yang lebih pantas dan kukuh amat diperlukan.
“Kerajaan sedang mendengar, tetapi semua pihak perlu bergerak lebih pantas. Dewan perniagaan, MNC dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu berganding bahu bagi memastikan kekuatan kita dapat disampaikan secara jelas kepada pihak AS,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Tan Sri Nazir Razak berkata, Malaysia disaran tampil dengan kekuatan ekonomi yang kukuh serta berunding secara kolektif menerusi kerjasama serantau ASEAN ketika mengadakan perundingan perdagangan itu.
“Kita perlu menonjolkan kekuatan saiz ekonomi kita, bukan sekadar sebagai Malaysia, tetapi sebagai sebahagian daripada ekonomi serantau ASEAN.
“Ini termasuk penyelarasan kepentingan strategik yang melangkaui isu tarif seperti kerjasama pembelian ketenteraan dan sumbangan kepada kestabilan di kawasan bergolak seperti Gaza,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk menangani halangan bukan tarif dalam ASEAN sendiri, seperti sekatan pelaburan dan ketidakkonsistenan peraturan, yang terus menghalang pergerakan perniagaan dalam rantau ini.
Dengan merujuk kepada cadangan penubuhan Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) sebagai jalan penyelesaian inovatif, beliau berkata, ia turut dilihat sebagai langkah penting ke arah penyatuan ekonomi serantau.
“Penubuhan ABE merupakan satu idea yang sangat inovatif. Meskipun ASEAN berdepan kekangan dalam integrasi buruh dan barangan, langkah ini boleh dimulakan dalam konteks dalaman syarikat.
“Jika syarikat seperti Maybank atau Standard Chartered dilantik sebagai ABE, kelonggaran boleh diberikan bagi mengurus operasi, kakitangan dan data merentasi sempadan ASEAN.
“Ini pendekatan yang segar dalam usaha menjadikan ASEAN sebagai satu pangkalan pengeluaran tunggal,” katanya.- UTUSAN