Syed Abu Hussin bantu kempen calon BN di Ayer Kuning

Politik

BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal akan membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Kuning.

Beliau yang merupakan wakil rakyat Bebas berkata, walaupun tidak menjadi ahli mana-mana parti politik ketika ini, prinsipnya ialah menyokong kerajaan demi memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Sudah pasti saya akan turun membantu jentera kerajaan dalam PRK Ayer Kuning, termasuk Barisan Nasional yang menjadi wakil kerajaan.

“Saya tak kisah siapa pun asalkan parti itu mendukung kerajaan,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) memberitahu akan mengadakan program jualan murah barang keperluan harian di kawasan PRK Ayer Kuning sebagai usaha membantu rakyat dan mengukuhkan sokongan kepada kerajaan.

“Saya sudah bincang dengan Menteri Besar, beliau datang lawat tempat saya buat jualan murah. Dia kata bagus, Alhamdulillah.

“Hubungan kami sangat baik. Ini bukan soal parti, tapi soal menyokong kerajaan,” katanya.

Syed Abu Hussin juga tidak menolak kemungkinan untuk kembali bekerjasama dengan BN pada masa hadapan, namun menegaskan fokus utamanya kini adalah kepada Perdana Menteri dan kestabilan kerajaan.

“Saya menyokong penuh Perdana Menteri, saya akan berusaha sungguh-sungguh, tanpa parti pun tak apa.

“Saya mahu beliau jadi Perdana Menteri untuk satu penggal lagi kerana beliau mampu urus negara, hadapi tekanan politik antarabangsa dan bawa konsep Malaysia Madani,” katanya,” katanya. – UTUSAN