PETALING JAYA: Sebanyak RM1.5 juta dana diperuntukkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada Persatuan SepakTakraw Malaysia (PSM) bagi menjayakan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP).
Menterinya, Hannah Yeoh berkata melalui program tersebut beliau percaya PSM mampu memiliki himpunan bakat pemain yang lebih besar supaya skuad negara berupaya mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
“Hari ini kita telah melancarkan program NSTDP dan tahun ini mereka menerima bajet RM1.5 juta daripada MSN untuk pembangunan sukan sepak takraw. Dengan adanya program ini saya percaya kita akan mempunyai kumpulan bakat pemain yang lebih besar dan bakat itu kita boleh mulakan sekarang.
“Sukan Sepatakraw bukan sukan yang mahal dan wajar kita bangunkan serta perjuangkan dan saya lihat di kawasan luar bandar sama ada dengan komuniti orang asli ataupun golongan wanita, sepak takraw popular.
“Dan dengan 1.5 juta sahaja mereka boleh buat banyak program pembangunan. Jadi, saya berharap ini adalah satu permulaan yang bagus untuk sepak takraw dan kita akan tengok, kita akan sentiasa menilai,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hannah berkata pihaknya akan sentiasa menilai terhadap program tersebut menerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan di peringkat Majlis Sukan Negara (MSN).
“Sepak takraw merupakan salah satu sukan yang mempunyai pelan pembangunan yang teliti dan jelas. Jadi, kita akan berikan semua sokongan kita untuk pastikan sukan ini akan terus popular,” katanya.
Terdahulu, terdapat beberapa sukan lain yang turut melaksanakan program seperti ini antaranya hoki (NHDP), bola sepak (NFDP), ragbi (NRDP) dan bola jaring (NNDP) termasuk NSTDP. – UTUSAN