Aaron-Wooi Yik bidik gelaran dunia selepas tawan Asia

Sukan

SEPANG: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini meletakkan sepenuh fokus untuk merangkul gelaran juara dunia buat kali kedua selepas menjulang kejuaraan Badminton Asia 2025 (BAC) 2025, pada Ahad.

Kejayaan itu menjadi pemangkin kepada beregu No. 6 dunia itu mahu membuktikan bahawa mereka masih relevan di pentas tertinggi pada Kejohanan Dunia yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 31 Ogos ini di Paris, Perancis.

Aaron berkata, beliau optimis dengan sasaran itu biarpun masih dalam proses menyesuaikan diri dengan taktik ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.

“Kejohanan Dunia tetap menjadi sasaran terbesar kami tahun ini. Walaupun masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan gaya permainan jurulatih Herry.

“Kami akan teruskan usaha sampai ke tahap terbaik,” kata Aaron ketika ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Guangzhou, China di sini, hari ini.

Sementara itu, Wooi Yik percaya mereka kini berada di landasan betul untuk kembali menjadi pencabar utama di setiap kejohanan besar selepas ini.

Menurutnya, BAC 2025 menjadi titik tolak kepada versi baharu Aaron-Wooi Yik yang menunjukkan peningkatan konsisten hasil bimbingan Herry.

“Kami temui sesuatu yang baharu daripada jurulatih Herry di kejohanan ini dan ianya sangat berbeza daripada sebelum ini.

“Ini mungkin permulaan kepada kebangkitan kami, dan anda tidak boleh jangka apa kami boleh capai selepas ini kerana kami masih belajar,” kata Wooi Yik.

Pasangan negara itu sebelum ini pernah menjuarai Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo, Jepun dan kini mengintai peluang untuk menambah koleksi gelaran dunia mereka. – UTUSAN