Rizal pertahan Ketua Cabang PKR Lipis

Politik

LIPIS: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang dan Pakatan Harapan (PH) negeri, Rizal Jamin akan mempertahan jawatan Ketua Cabang PKR Lipis pada pemilihan 19 April ini.

Rizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan berkata, beliau akan mempertahan jawatan itu bagi penggal ketiga setelah memenanginya pada 2018.

“Berbeza pada pemilihan 2022, memandangkan sekarang PH sebahagian daripada kerajaan, sebagai Ketua Cabang dan ADUN Lantikan bertekad untuk melicinkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat khususnya golongan termiskin dan penduduk memerlukan.

“Bantuan secara langsung seperti bakul makanan, baik pulih kediaman, rumah Rumah Rakyat Pahang (RRP) dan sebagainya menjadi fokus utama bagi kesinambungan saya sebagai Ketua Cabang Lipis,” katanya di Benta di sini.

Menurut Rizal, prasarana awam seperti sekolah daif dan kemudahan rekreasi di daerah yang menjadi tumpuan PKR, iaitu di Lipis dan Jerantut menjadi keutamaan kepimpinannya selain memfokuskan pendapatan golongan renta dan komuniti desa menerusi aktiviti ekonomi.

“Sejak memegang jawatan Ketua Cabang pada 2018, saya juga membantu dana untuk pihak sekolah dan guru melaksanakan program  peningkatan prestasi pelajar seperti seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta menganjurkan aktiviti motivasi dan sebagainya,” katanya.

Rizal berkata, masyarakat di Lipis termasuk kepimpinan di peringkat parti tersebut serta  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah lama mengenalinya dan akan memberikan kepercayaan penuh kepadanya pada pemilihan penggal ketiga ini berasaskan setiap kali penjelajahan kempen di setiap buah tempat di Lipis.

Ujarnya, difahamkan pemilihan Ketua Cabang Lipis akan menyaksikan pertandingan dua penjuru secara sihat, matang dan demokrasi. – UTUSAN