DAP serah kepada undang-undang isu kebun durian

Politik

SUBANG JAYA: DAP menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan bakal mengikuti proses undang-undang mengikut prosedur ditetapkan berhubung kes melibatkan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, peguam parti telah dimaklumkan mengenai perkembangan kes tersebut dan akan menguruskannya mengikut tatacara dan garis panduan sewajarnya.

“Berhubung isu perundangan yang dibangkitkan, peguam kami sedang menguruskannya mengikut proses dan saluran undang-undang yang sewajarnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Tabung Bantuan Bencana kepada mangsa kebakaran paip gas di Stesen LRT Putra Heights, di sini hari semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang ditahan polis petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa pelaksanaan ‘Op Sekat’ di daerah ini minggu lalu.

Penahanan itu dimaklumkan menerusi kenyataan dimuat naik di laman rasmi Facebook Chow Yu Hui sebentar tadi, yang turut mengesahkan perkara tersebut melalui peguam yang mewakili kedua-dua individu terbabit.

Dalam perkembangan lain, Anthony Loke berkata, beliau enggan melayan bentuk provokosi terhadapnya oleh pihak pembangkang seperti isu karikatur seakan wajah dirinya semasa hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Sabtu lalu.

“Biarlah mereka dengan cara mereka, kita teruskan kerja kita. Mereka tunjukkan kepada rakyat yang itu sahaja kerja yang mereka boleh buat. Biarlah kita buat kerja kita. Yang penting, kita datang bantu.

“Saya lebih memilih untuk terus bekerja dan buktikan bahawa bantuan sampai kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebarang bentuk kerjasama politik melibatkan DAP di Sabah hanya akan diputuskan menerusi perbincangan secara rasmi di peringkat parti.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang keputusan atau pengumuman rasmi dibuat berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN1-7) di negeri berkenaan.

“Perkara berkaitan Sabah akan dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat akan datang. Setakat ini, belum ada keputusan atau pengumuman dibuat.

“Namun perkara ini bukan isu kerana memang menjadi amalan kita untuk membincangkan bentuk kerjasama menjelang pilihan raya,” katanya.-UTUSAN.