SHAH ALAM: Dua ahli Parlimen, seorang Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dan Timbalan Speaker tewas dalam Pemilihan PKR 2025 peringkat cabang di Selangor yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Keputusan itu dipercayai dipengaruhi pengundi muda yang dikatakan menunjukkan ketegasan mereka apabila lebih 1,000 dilaporkan mengundi di setiap 22 cabang.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, keputusan pemilihan tersebut bukanlah isyarat jelas untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), namun ia suatu yang tidak boleh dinafikan.
“Mungkin ada isyarat-isyarat tertentu ditunjukkan, tetapi ia tidaklah secara terus. Jika hendak ditunjukkan ke arah PRU-16, kita kena bezakan perbandingan dari pada segi politik dan juga sebagai wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB).
“Cuma biasanya kalau orang dalam parti pun sudah tolak, adakah orang luar pula akan terima? Cuma kita kena nilai pula kalau dia tidak disukai oleh orang dalam parti, mungkin juga perkhidmatannya sebagai wakil rakyat berkualiti dan disukai oleh orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada pemilihan tersebut, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail tewas kepada Mohd. Najwan Halimi yang juga Exco Kerajaan Selangor bagi jawatan Ketua Cabang Shah Alam dengan majoriti 314 undi.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung pula tewas kepada bekas Exco Kerajaan Selangor, Hee Loy Sian bagi jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya.
Malah bagi jawatan timbalan di cabang tersebut, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah pula tewas kepada Ahmad Akhir Pawan Chik dengan majoriti sebanyak 135 undi.
ADUN Rawang, Chua Wei Kiat pula tewas kepada pencabarnya, Kamarudin Mohd. Hussain yang mendapat 2,041 bagi jawatan Ketua Cabang Selayang.
Bagi jawatan Ketua Cabang Ampang pula, Timbalan Speaker DUN Selangor, Mohd. Kamri Kamaruddin tewas kepada ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (Altimet) dengan majoriti 289 undi.
Selain itu, Setiausaha Politik Datuk Seri Amirudin Shari bagi Parlimen Gombak, A. Rahim Kasdi juga tewas kepada pencabarnya, Mohammad Faizal Ismail dengan majoriti tipis 36 undi bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang Gombak.
Bagaimanapun, Saifuddin Shafi memaklumkan, keputusan tersebut tidak langsung menunjukkan perpecahan akibat pemilihan, sebaliknya calon yang kalah masih boleh terus menyumbang kepada parti.
“Pemilihan kali ini juga menunjukkan ramai ahli mengundi dan penggunaan sistem pengundian secara hibrid iaitu manual dan dalam talian yang boleh menentukan jumlah pengundi lebih awal.
“Ada pemimpin yang baru naik, mereka pun datang dari akar umbi yang sama. Paling penting dalam parti yang kalah pun masih boleh menyumbang dan yang menang pula akan laksanakan tanggungjawab. Selepas pemilihan itu, kita akan lebih bersedia dan bersemangat,” ujarnya.-UTUSAN.