Tubuh RCI siasat pencerobohan tanah di Raub

Politik

KUANTAN: Pas Pahang mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat bagaimana kegiatan pencerobohan tanah berskala besar di Raub dapat berlangsung selama 40 tahun tanpa tindakan.

Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar berkata, RCI itu perlu disegerakan bagi menyiasat siapa yang melindungi dan bersubahat sehingga membolehkan penerokaan tanah berlaku.

“Siapa yang melindungi? Siapa yang bersubahat? Dan yang paling penting, siapa pegawai-pegawai kerajaan yang secara langsung atau tidak, gagal menjalankan tugas mereka selama empat dekad?

“Semua pihak yang terlibat, daripada penceroboh hingga pegawai-pegawai yang berkompromi, harus ditahan, disiasat dan didakwa tanpa kompromi kerana inilah satu-satunya cara untuk mengembalikan kedaulatan undang-undang dan menghormati titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya dalam kenyataan di sini. 

Rosli berkata, tindakan Save Musang King Alliance (Samka) yang mengumpul dan menyerahkan 400 tandatangan kepada Perdana Menteri dan Sultan Pahang adalah satu bentuk penderhakaan terang-terangan terhadap kedaulatan negeri Pahang.

“Ini bukan sekadar permohonan biasa, tetapi satu cubaan terancang untuk menggugat titah Sultan Pahang yang jelas mempertahankan tanah milik kerajaan negeri daripada pencerobohan haram yang telah berlangsung selama 40 tahun.

“Apa berlaku di Raub bukan mengenai ‘petani kecil’ seperti gambaran yang cuba diberikan. Ia adalah jenayah terancang melibatkan kawasan beribu-ribu ekar yang dirampas secara haram.

“Bayangkan jika anda memiliki sebidang tanah, kemudian seseorang datang, merampas dan mengusahakannya selama 40 tahun, dan kini ada pula pihak ketiga yang menandatangani petisyen meminta agar perampas itu dibenarkan terus merampas harta anda. Adakah ini adil? Adakah ini yang dipanggil keadilan?,” soalnya. 

Beliau berkata, Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984 jelas mengatakan bahawa pencerobohan tanah kerajaan dan hutan simpan adalah kesalahan serius yang boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda RM500,000.

“Tetapi Samka dan penyokong-penyokongnya seolah-olah menganggap undang-undang ini tidak wujud. Mereka yang menandatangani petisyen dengan sengaja melindungi dan menyokong penjenayah dan dengan itu seharusnya didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dalam jenayah.

“Seperti kumbang yang mendekati api, mereka yang menandatangani petisyen ini sedang bermain dengan kedaulatan undang-undang. Tidakkah mereka sedar bahawa tindakan mereka adalah cubaan langsung menghalang penguatkuasaan? Adakah nama-nama dalam senarai tersebut menandakan golongan ‘tidak boleh disentuh’ yang menganggap diri mereka melebihi undang-undang dan kedaulatan Sultan?,” soalnya. – UTUSAN