Beberapa syarikat dijangka anjak tarikh penyenaraian di Bursa Malaysia

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan pasaran yang dicetuskan kebimbangan impak tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) mendorong beberapa syarikat memilih untuk menganjakkan tarikh penyenaraian di Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ada syarikat yang mengambil keputusan itu seperti Cuckoo International (MAL) Bhd., yang mengumumkan penangguhan penyenaraian di Bursa Malaysia selama dua bulan berikutan ketidaktentuan pasaran global semasa.

“Ada juga syarikat yang membuat keputusan untuk anjak sedikit seperti Cuckoo contohnya. Kita rasa buat masa ini, memang ada yang mungkin anjak sedikit tarikh mereka (penyenaraian).

“Namun, kami faham bahawa buat masa ini ada yang mungkin menyesuaikan garis masa mereka, tetapi saya percaya bahawa dalam beberapa bulan lagi, apabila keadaan pasaran menjadi lebih stabil dan terdapat kejelasan mengenai situasi luaran, lebih banyak syarikat akan meneruskan rancangan IPO mereka,” katanya selepas sesi meja bulat anjuran Bursa Malaysia, Economic Club Kuala Lumpur dan CIMB di sini, semalam.

Beliau turut menjawab kebimbangan mengenai bagaimana ketidaktentuan semasa mungkin menjejaskan senarai IPO yang dirancang.

“Tahun lalu, kita berjaya menyenaraikan 55 buah syarikat dan kita mensasarkan 60 buah syarikat tahun ini.

“Bagaimanapun, setakat ini, 15 buah syarikat telah disenaraikan iaitu dua di Pasaran Utama dan 13 di Pasaran ACE. Satu lagi syarikat, MSB Global Berhad, akan disenaraikan esok (Selasa), menjadikannya berjumlah keseluruhan 16 buah syarikat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, daya tahan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia perlu menjadi asas berdepan ketidaktentuan global seperti tarif yang dikenakan oleh AS.

“Mengenai cabaran dan ketidaktentuan global, kita tidak benar-benar tahu apa yang akan berlaku seterusnya kerana dasar-dasar yang sedang dilaksanakan dan diselaraskan.

“Apa yang penting ialah memastikan kita membina daya tahan dalam kalangan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Itu sesuatu yang perlu kita tingkatkan.

“Teras kepada usaha membina daya tahan ini antaranya melalui Program Transformasi Syarikat Tersenarai Awam (PLC), yang telah dilancarkan tiga tahun lalu bagi memperkukuh asas dan prestasi syarikat-syarikat tersenarai,” katanya.

Program itu kini melibatkan 326 syarikat, mewakili 64 peratus daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran.

Ia turut memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu berpaksikan tujuan, memperbaiki prestasi, meningkatkan etika, mengutamakan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta memperkukuh penglibatan pelabur.

Beliau berkata, dengan asas yang kukuh, syarikat-syarikat tersebut mampu mengurangkan kesan kejutan luaran.

Sementara itu, menjawab mengenai isu tarif dan kesannya terhadap syarikat tersenarai, Abdul Wahid berkata, kesannya berbeza bergantung kepada industri.

“Dalam sektor seperti elektronik, masih terdapat banyak pengecualian, jadi kesannya ketika ini adalah minimum. Namun, ketidaktentuan dan perubahan dasar mewujudkan kebimbangan, terutamanya dari segi pengeluaran dan aliran pesanan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas penyertaan Malaysia dalam rundingan perdagangan di Washington pada 23 April nanti, beliau berkata, penting bagi Malaysia mengekalkan pendirian diplomatik dan perdagangan yang seimbang.

“Adalah penting untuk Malaysia terus memposisikan dirinya sebagai negara berkecuali, tidak berpihak kepada mana-mana blok tertentu. Kita mesti berurusan dengan semua pihak dan terus mengembangkan hubungan perdagangan dua hala serta dalam ASEAN.

“Setiap keputusan dalam rundingan antarabangsa mesti berlandaskan kepentingan negara. Apa sahaja yang kita uruskan mesti berdasarkan kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara,” katanya.- UTUSAN