MSB Global syarikat keenam disenarai di bawah harga IPO

Perniagaan

KUALA LUMPUR: MSB Global Group Berhad, pengedar peralatan automotif membuat penampilan sulung di pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 17 sen sesaham, lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 20 sen sesaham.

Ini menjadikan MSB Global sebagai penyenaraian keenam berturut-turut yang jatuh pada hari dagangan pertama di Bursa Malaysia sejak Mac lalu.

Pengarah Eksekutifnya, Ow Chen Lun berkata, walaupun harga pembukaan saham lebih rendah daripada jangkaan, pihaknya kekal positif terhadap prospek jangka panjang syarikat.

Ujarnya, syarikat akan memperkukuh infrastruktur pengeluaran, memperluas penawaran produk serta terus memacu inovasi dalam segmen automotif pasaran selepas jualan dan kenderaan elektrik (EV) yang sedang berkembang.

“Penyenaraian ini bukan sekadar untuk hari pertama kerana kami melihat perniagaan ini untuk jangka panjang. Pasaran kini memang mencabar, namun kami telah merangka strategi jangka panjang yang merangkumi perancangan rapi serta usaha untuk meningkatkan jualan pelincir automotif kami.

“Kami juga melihat pertumbuhan positif dalam segmen EV, jadi kami mula membangunkan pengecas dalaman sebagai usaha awal menempatkan diri dalam pasaran ini.

“Jika pada masa hadapan pasaran beralih daripada enjin pembakaran kepada EV, nama kami sudah pun berada dalam industri ini. Justeru, kami percaya ini adalah masa yang tepat untuk bermula,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas penyenaraian syarikat di Pasaran ACE.

Chen Lun berkata, syarikat ketika ini tertumpu kepada perdagangan alat ganti dan komponen automotif, dengan kebanyakan produknya diimport dari China untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, isu tarif yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak memberi kesan besar kerana hubungan rapat syarikat dengan pembekal utamanya dari China, GSP yang telah terjalin sejak 20 tahun lalu.

“Dalam jangka panjang, kami merancang untuk beralih kepada bidang pembuatan, termasuk membangunkan kemudahan pengeluaran kami sendiri bagi produk automotif.

“Jika berlaku perubahan pasaran atau kenaikan kos, kami sentiasa mempunyai ruang untuk berbincang dengan pembekal bagi mencari penyelesaian terbaik dan kami percaya mereka bersedia membantu.

“Sekiranya kami melaksanakan pengembangan di masa depan, tumpuan kami adalah ke pasaran Asia Tenggara.

“Justeru, keadaan pasaran semasa tidak memberi kesan besar kepada operasi kami. Malah, penyusutan nilai dolar AS turut memberi manfaat kepada kami menerusi pengurangan kos pembelian,” katanya. – UTUSAN