Agrobank taja biasiswa 10 pelajar IPTA

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Agrobank menganugerahkan Biasiswa Madani berjumlah RM416,500 kepada 10 orang pelajar cemerlang yang sedang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Penerima terdiri daripada para pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti tempatan termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada tahun lalu, Agrobank mencatat rekod penyaluran pembiayaan tertinggi sebanyak RM10.44 bilion yang merentasi semua sektor pada 2024.

Beliau berkata, angka tersebut membuktikan komitmen dan keupayaan institusi ini dalam menyokong rantaian bekalan makanan negara.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pengurusan dan seluruh warga kerja Agrobank atas usaha berterusan dalam menyediakan akses kewangan yang menyeluruh, inklusif dan mampan kepada pertumbuhan petani, nelayan dan penternak.

“Inisiatif Biasiswa Madani Agrobank yang dilancarkan hari ini merupakan satu pelaburan strategik dalam membina masa depan generasi yang bakal mewarisi sektor pertanian negara,” katanya semasa Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Agrobank dan Pelancaran Transformasi Penjenamaan Agrobank.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, akses kepada pendidikan berkualiti memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Menurutnya, pendidikan melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan, inovatif dan mahir dalam pelbagai bidang, sekali gus mampu menyumbang kepada kemajuan yang mampan.

“Masalah kewangan tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada generasi muda untuk melanjutkan pelajaran. Justeru itu, biasiswa ini memastikan mereka dapat merealisasikan aspirasi kerjaya tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

”Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Agrobank terhadap tanggungjawab sosial korporat, malah merupakan pelaburan strategik dalam melahirkan bakat muda yang berpotensi menyertai Young Talent Program (YTP) Agrobank bagi mencungkil bakat kepimpinan mereka.

“Para penerima Biasiswa Madani Agrobank yang telah hadir pada hari ini adalah dalam kalangan anak petani dan kategori B40 yang lain. Usaha ini sejajar dengan misi Agrobank untuk memperkasa keperluan komuniti tidak mendapat perkhidmatan (unserved) dan kurang mendapat perkhidmatan (underserved).

“Kebanyakan graduan sebelum ini telah menyertai syarikat sebagai kakitangan dan mereka mengikuti Skim Latihan Pengurusan yang diperkenalkan oleh kami.

“Program ini merangkumi semua aspek dalam bidang perbankan dan para peserta juga dihantar untuk berkhidmat di kawasan luar bandar yang mempunyai cawangan Agrobank.

“Setakat ini kita mempunyai 38 orang yang sedang berada dalam skim ini. Malah, ada antara mereka yang telah berjaya ke peringkat pengurusan, bergantung kepada prestasi dan pencapaian kerja masing-masing.

“Melalui pelaburan dalam bidang pendidikan, Agrobank memperlihatkan komitmennya dalam menyokong komuniti yang kurang diberi perhatian, seterusnya memastikan peluang untuk kemajuan tidak lagi terbatas oleh faktor geografi mahupun kewangan,” katanya. – UTUSAN