PUTRAJAYA: Penyedia rangkaian 5G generasi hadapan Malaysia, U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) menyasarkan untuk memperluas liputan rangkaian 5G membabitkan 80 peratus liputan kawasan berpenduduk dalam tempoh 12 bulan.
Pengerusinya, Tan Sri Vincent Tan berkata, sasaran itu akan disokong oleh dua rakan teknologinya, Huawei Malaysia (Huawei) dan ZTE Malaysia (ZTE).
Beliau berkata, Huawei akan mengendalikan pelaksanaan rangkaian 5G di Semenanjung Malaysia, manakala ZTE pula akan bertanggungjawab bagi kawasan Malaysia Timur.
“Apabila dilancarkan kelak, rangkaian 5G Generasi Baharu U Mobile akan menawarkan pengalaman unggul untuk penggunaan dalam dan luar bangunan menerusi infrastruktur yang maju dan sedia masa depan.
“Rangkaian ini juga akan berasaskan tahap perusahaan (enterprise-grade), dengan kebolehan 5G dan 5G-A yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pelbagai jenis perniagaan dan organisasi,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Huawei Malaysia dan ZTE Malaysia sebagai Rakan Teknologi 5G U Mobile di sini, hari ini.
Majlis itu turut disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Setiausaha Parti Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat Republik Rakyat China, Li Lecheng.
Katanya, sasaran itu juta seiring strategi keseluruhan syarikat untuk mempercepatkan penerimaan dan penggunaan 5G dan 5G-A di seluruh negara, dengan tumpuan khusus kepada sokongan terhadap perusahaan.
Katanya, langkah berwawasan kerahaan dalam memperkenalkan model Rangkaian Dua 5G turut membuka ruang kepada penyertaan industri yang lebih meluas.
Jelasnya lagi, langkah kerajaan itu juga menggalakkan persaingan sihat serta merangsang inovasi, yang akhirnya akan membawa kepada peningkatan kualiti dan mutu perkhidmatan.
Vincent berkata, pihaknya berhasrat untuk membangunkan rangkaian 5G Generasi Baharu negara bagi merancakkan pertumbuhan, mencetuskan inovasi, serta menetapkan penanda aras baharu dalam kejayaan ekonomi digital Malaysia.
Menurutnya, pihaknya turut menekankan bahawa rangkaian 5G Generasi Baharu yang terkini di negara ini akan memberi keutamaan kepada kawasan tumpuan utama seperti hab pengangkutan, kemudahan perubatan dan sukan, bandar pintar serta pusat data. – UTUSAN