TNB REMACO raih kontrak MRO bernilai RM705 juta di Kuwait

Perniagaan

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd (TNB REMACO) memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa dengan memeterai kontrak tujuh tahun bernilai RM705 juta dengan Kementerian Elektrik, Air dan Tenaga Boleh Baharu (MEWRE) Kuwait.

Dalam perjanjian itu, TNB REMACO bersama rakan kongsi dari Kuwait, AL DHOW Engineering memberi tumpuan kepada kerja-kerja Senggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih Menyeluruh (MRO) bagi Loji Janakuasa dan Penyulingan Air Sabiya.

Terletak 65 kilometer dari Kuwait, loji dengan empat unit janakuasa minyak dan gas berkapasiti keseluruhan 299.4 megawatt (MW) itu memainkan peranan penting dalam infrastruktur tenaga negara tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, perjanjian itu mencerminkan keyakinan MEWRE terhadap usaha sama TNB REMACO-AL DHOW untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang berkualiti tinggi dan mampan, bagi menyokong permintaan tenaga yang semakin meningkat di Kuwait.

“Kontrak ini sejajar dengan misi TNB untuk menjadi penyedia penyelesaian tenaga mampan yang terkemuka, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. 

“Selain Kuwait, kami turut mengembangkan sayap ke United Kingdom, Ireland, Australia, Turkiye, Arab Saudi, Pakistan dan Kemboja,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut beliau, TNB sentiasa komited dalam menyokong sektor tenaga di Kuwait sambil mengembangkan portfolio antarabangsanya. 

“Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan kepakaran teknikal kami, tetapi juga mengeratkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Kuwait,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd.(TNB Genco) dan Pengerusi TNB REMACO, Datuk Ir. Muhamad Nazri Pazil berkata, sejak memasuki pasaran penjanaan kuasa Kuwait pada 2013, TNB REMACO telah berkembang pesat di negara tersebut.

“Kami kini menguruskan 11 projek aktif dengan jumlah nilai kontrak melebihi RM4.54 bilion. 

“Sejak 2013 juga, seramai 16 bakat dan pakar TNB telah dipinjamkan ke Kuwait bagi memantau projek-projek ini dan kini enam orang kakitangan sedang mengetuai serta menguruskan kesemua 11 kontrak yang sedang berjalan,” katanya. 

Tambahnya, TNB REMACO bersedia untuk terus berkembang, di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. 

“Sebagai sebahagian daripada TNB Genco, TNB REMACO terus menunjukkan kepakaran teknikal dan keupayaannya dalam industri penjanaan tenaga. Kami komited untuk meluaskan perniagaan kami di Malaysia dan di luar negara,” katanya. 

Dengan pencapaian terkini itu, TNB REMACO mengukuhkan kedudukannya sebagai penggiat utama industri penjanaan kuasa global. 

Sebagai sebahagian daripada TNB Genco, syarikat akan terus memberikan tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan perkembangan antarabangsa. – UTUSAN