PETALING JAYA: Eco-Shop menandatangani perjanjian penjaminan terbitan awam bersama Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) yang bertindak sebagai penjamin tunggal bagi penyenaraian syarikat di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Penjaminan bagi bahagian runcit tawaran awam permulaan (IPO) ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Eco-Shop untuk menjadi sebuah syarikat tersenarai awam.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata, sehingga 31 Mac 2025, Eco-Shop mengendalikan sebanyak 358 buah kedai termasuk 22 kedai berformat Eco-Plus di seluruh negara.
“Perjanjian penjaminan ini merupakan langkah penting dalam perjalanan IPO kami ketika kami bersiap untuk melancarkan prospektus dalam beberapa minggu akan datang.
“IPO ini bukan sahaja akan memperkukuhkan kedudukan kewangan kami, malah akan mengukuhkan keupayaan kami untuk merebut peluang besar dalam pasaran runcit nilai yang pesat berkembang di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Jessica berkata, permintaan terhadap produk yang berkualiti tinggi dan mampu milik kekal kukuh dan penyenaraian ini akan membolehkan pihaknya mengumpul dana bagi mempercepat pembukaan cawangan baharu, memperluas keupayaan pengedaran serta melabur dalam teknologi maklumat dan inisiatif lain.
“Kami berada dalam posisi yang kukuh untuk mengambil peluang dalam sektor runcit yang berkembang pesat di Malaysia dan bercadang untuk meneruskan pengembangan, terutamanya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar, dengan sasaran membuka kira-kira 70 kedai baharu setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Investment Bank dan Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh-Lau berkata, Maybank Investment Bank sebagai penasihat utama akan memberikan pelabur pendedahan unik kepada segmen runcit nilai di Malaysia.
“Kepimpinan pasaran Eco-Shop, model perniagaan yang boleh diskalakan dan komitmennya untuk menawarkan produk mampu milik menjadikan syarikat ini pilihan menarik bagi para pelabur,” katanya.
IPO Eco-Shop melibatkan sehingga 862.146 juta saham, merangkumi tawaran institusi sebanyak 675.368 juta saham dan tawaran runcit sebanyak 186.778 juta saham.
Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penyelaras global bersama , juru buku bersama dan penjamin tunggal bagi IPO Eco-Shop. – UTUSAN