SAG meterai perjanjian taja jamin IPO dengan M&A Securities dan AHIBB

Perniagaan

PETALING JAYA: Pakar utama dalam kerja-kerja pemasangan dalaman Signature Alliance Group Berhad (SAG) menandatangani Perjanjian Taja Jamin dengan M & A Securities Sdn. Bhd. (M&A Securities) dan Affin Hwang Investment Bank Berhad (AHIBB).

Ia bersempena pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities), membabitkan Terbitan Awam sebanyak 260 juta saham baharu, mewakili 26 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan sebanyak 1 bilion saham selepas penyenaraian.

Syarikat mensasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang Mei

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SAG, Darren Chang berkata, IPO itu akan membiayai perkembangan syarikat serta memberi peluang kepada orang ramai untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan SAG.

“Kami bercadang untuk memusatkan pejabat korporat dan operasi pengeluaran kami melalui penyediaan pejabat korporat dan kemudahan pengeluaran di Selangor bagi meningkatkan kecekapan operasi dan proses pengeluaran secara keseluruhan.

“Kami juga bercadang untuk memperluas pejabat cawangan kami yang sedia ada di Pulau Pinang serta membuka pejabat cawangan baharu di Johor bagi memperkukuh kehadiran kami di peringkat serantau di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Bagi tempoh tiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 hingga 31 Disember 2023 dan sehingga 31 Ogos 2024, SAG telah menyiapkan 286 projek pemasangan dalaman dengan jumlah nilai sebanyak RM325.3 juta.

Sehingga 31 Ogos 2024, syarikat mempunyai 57 projek yang sedang dijalankan dengan jumlah nilai kontrak sebanyak RM663.4 juta yang dijangka akan direalisasikan secara progresif dalam tempoh satu hingga dua tahun kewangan akan datang.

Daripada jumlah itu, RM417.8 juta atau 63 peratus masih belum dibilkan setakat 31 Ogos 2024.

Selain itu, bagi tahun kewangan 2021, hasil SAG melonjak daripada RM73.4 juta kepada RM173.4 juta pada tahun kewangan 2023, mencatatkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun (CAGR) dua tahun sebanyak 53.7 peratus.

Syarikat juga merekodkan pertumbuhan kukuh bagi keuntungan selepas cukai dari tahun kewangan 2021 hingga 2023, meningkat daripada RM2.7 juta kepada RM10.4 juta, dengan CAGR dua tahun sebanyak 95.7 peratus.

M&A Securities merupakan penasihat, penaja, penjamin utama dan ejen penempatan bersama, manakala AHIBB adalah penjamin bersama dan ejen penempatan bersama bagi pelaksanaan IPO ini. – UTUSAN