Hadiah wang lumayan suntik semangat Aaron-Wooi Yik

Sukan

KUALA LUMPUR: Juara Asia 2025, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui suntikan semangat besar hadir menjelang Kejohanan Badminton Malaysia Masters  selepas peningkatan jumlah hadiah wang keseluruhan diumumkan, hari ini.

Kejohanan bertaraf Super 500 itu bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 20 hingga 25 Mei ini dengan jumlah hadiah dinaikkan kepada AS$475,000 (RM2,096,413) berbanding AS$420,000 (RM1,853,670) pada edisi tahun lalu.

Pasangan beregu lelaki No. 4 dunia itu mengajak penyokong tempatan hadir beramai-ramai ke kejohanan berprestij tersebut untuk memberi sokongan kepada barisan pemain negara.

“Kenaikan hadiah wang tunai ini sememangnya memberi motivasi kepada kami dan kami berharap dapat membawa pulang sebahagian besar daripadanya.

“Kami sasar untuk mara ke final dan memberikan kebanggaan kepada penyokong di tanah air,” tambahnya lagi dengan penuh semangat menjelang kejohanan tersebut,” kata Aaron ketika sidang akhbar menjelang Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Dalam pada itu, Wooi Yik turut berharap kehadiran penyokong dapat memberikan lonjakan motivasi buat mereka dan pemain lain sepanjang kejohanan berlangsung.

“Kami benar-benar berharap peminat hadir, beri sokongan dan nikmati corak permainan kami,” kata Wooi Yik.

Sebanyak 280 pemain bertaraf dunia dijangka berentap dalam kejohanan kali ini termasuk wakil Malaysia lain seperti Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita No. 5 dunia) dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki No. 2 dunia).

Tahun lalu, Lee Zii Jia serta gandingan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai menggegarkan Axiata Arena apabila mara ke pentas final, dengan Soon Huat-Shevon berjaya merangkul gelaran juara selepas menewaskan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.

Tiket Malaysia Masters 2025 akan mula dijual 18 April ini pada pukul 11 pagi. – UTUSAN