TAPAH: Perikatan Nasional (PN) yakin mampu menarik pengundi bukan Melayu daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengundi kaum Cina dan India memberikan respons yang positif sepanjang kempen gabungan parti itu setakat ini.
“Pengundi bukan Melayu, kita tahu (isu) memberikan pertimbangan isu ekonomi, peluang perniagaan.
“Mereka merasakan tiada peluang pekerjaan, tiada pertumbuhan, peluang ekonomi yang baik dibawah Kerajaan Madani,” katanya kepada pemberita di Kampung Dato Seri Kamaruddin Tambahan, Bidor di sini hari ini.
Beliau sebelum itu mengadakan kunjungan dan menziarahi penyokong PN.
Mohamed Azmin mendakwa, pertumbuhan ekonomi berlaku dengan pesat semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu).
“Mereka (kaum Cina dan India) merasa selamat. Ini menjadi rekod kita, beri peluang kepada calon PN (Abd. Muhaimin Malek).
“Kita beri kritikan dan juga penyelesaian untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Beliau juga menolak sebarang kempen yang menyerang peribadi calon PN kerana ia taktik lapuk dan tidak relevan dalam situasi sekarang.
Kaum Cina dan India mewakili hampir 40 peratus daripada 31,897 pemilih PRK DUN Ayer Kuning kali ini. – UTUSAN