TAPAH: Calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah dinasihatkan oleh Jabatan Mufti Perak supaya menghentikan sebarang bentuk aktiviti mengajar dan menyampaikan ceramah agama di masjid dan surau seluruh negeri.
Nasihat itu susulan Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd. Muhaimin Malek, 44, menjadi calon dalam PRK tersebut.
Pengurus Kempen PN bagi PRK DUN Ayer Kuning, Misbahul Munir Masduki berkata, Abd. Muhaimin telah dihubungi oleh Jabatan Mufti Perak baru-baru ini.
“Beliau (Abd. Muhaimin) telah diberi nasihat untuk tidak lagi mengajar di masjid dan surau kerana sudah menjadi calon (pada PRK DUN Ayer Kuning).
“Saya juga dimaklumkan Jabatan Mufti Perak akan membuat kenyataan tidak lama lagi untuk tidak membenarkan calon mengajar di masjid dan surau kerana mewakili gabungan atau parti politik pada pilihan raya,” katanya pada Sidang Media Harian PN sempena PRK DUN Ayer Kuning di sini hari ini.
Beliau berkata sedemikian di Pusat Media PN N.48 di Bidor.
Berhubung penarikan tauliah kepada Abd. Muhaimin, Misbahul berkata, perkara itu terletak dibawah bidang kuasa Jabatan Mufti Perak.
“Saya tidak maklum sama ada terdapat peruntukan mewajibkan pemegang tauliah melepaskan kelayakannya jika memegang jawatan politik atau menjadi calon mana-mana pilihan raya,” katanya.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Nadzir Helmi pula mendakwa, setakat ini, tiada peruntukan yang mewajibkan pemohon tauliah memaklumkan sebarang perjawatan politik.
“Kalau tengok laman sesawang Jabatan Mufti Perak calon tidak perlu memaklumkan jika memegang jawatan dalam politik pada borang permohonan pentaulihan.
“Untuk ‘declare’ (mengisytiharkan) sebagai orang berjawatan dalam parti politik memang tidak ada dalam permohonan tauliah,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan Barisan Nasional (BN) menggunakan jentera dan agensi kerajaan negeri untuk kempen sempena PRK DUN Ayer Kuning.
Katanya, ia jelas melanggar peraturan dan akan mengumpul bukti secukupnya sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini. – UTUSAN