MCA tidak ambil ringan peluang BN di Ayer Kuning

Politik

TAPAH: MCA tidak mengambil ringan peluang kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning meskipun kawasan itu secara tradisinya merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, meskipun mendapat maklum balas positif masyarakat, setiap jentera parti tidak ‘duduk’ selesa malah bekerja keras menyantuni pengundi di setiap pelusuk.

Katanya, setiap undi disifatkan berharga yang akan memastikan kemenangan calon.

“Saya melihat penerimaan positif (pengundi) tetapi kita tidak boleh ambil ringan. Kita perlu berusaha kuat kerana setiap undi penting untuk kita.

“Kempen yang dijalankan pun bukannya bermula hari ini, bahkan sejak hari penamaan calon lagi kita telah jalankan gerak kerja.

“Kita masuk ke semua kawasan untuk merayu undi. Kita mahu pastikan mereka kenal calon dan undi untuk calon kita,” katanya ketika ditemui pada lawatan rumah ke rumah bersama MCA di Kampung Baru Pekan Getah, di sini hari ini.

Hadir sama, calon BN DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Menurut Jeck Seng, gerak kerja yang dijalankan jentera MCA di peringkat akar umbi juga banyak membantu dalam memperkenalkan Mohamad Yusri kepada masyarakat terutama di kawasan majoriti kaum Cina.

Katanya, sambutan mesra juga dilihat ketika kempen dijalankan apabila mereka menyambut baik kehadiran calon BN itu.

“Kita boleh lihat sambutan baik orang ramai apabila mereka bukan sahaja terima malah sokong calon kita. Bagi MCA, kita ambil tanggungjawab ini untuk bantu kemenangan calon itu nanti,” katanya. – UTUSAN