Ab. Rauf nafi terlibat dengan penahanan Mohamad Ali

Politik

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan sama ada secara langsung atau tidak berhubung penahanan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ab. Rauf berkata, sebarang dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan penahanan tersebut adalah tidak berasas, bersifat spekulatif dan untuk mengelirukan rakyat.

“Tuduhan seperti ini bukan sahaja menjejaskan reputasi kepimpinan negeri, malah dilihat sebagai cubaan untuk mengganggu fokus pentadbiran negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat.

“Saya dan seluruh pentadbiran kerajaan negeri sentiasa menghormati prinsip kebebasan institusi penguatkuasaan dan memberi kepercayaan penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional, tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Saya meminta semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan dan menyebarkan maklumat. Penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial adalah satu kesalahan di bawah undang-undang dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap pihak yang terlibat,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri yang juga pemimpin kanan sebuah parti politik di Melaka direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan selepas disyaki meminta rasuah berkaitan kerja-kerja tambakan laut antara 2021 hingga 2023.

Perintah reman sehingga 20 April ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap suspek lelaki berusia 61 tahun itu.

Mohamad Ali merupakan bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada April 2024.

Tambah Ab. Rauf, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh tadbir urus negeri yang berteraskan integriti, kecekapan dan ketelusan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri. – UTUSAN