CIMB tawar Kad Debit Visa dengan pulangan tunai bagi tol dan transit

Perniagaan

PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) memperkenalkan faedah kad debit berkaitan pengangkutan pertama di Malaysia melalui Kad Debit Visa CIMB, membolehkan pengguna menikmati pulangan tunai 20 peratus untuk tol tempatan dan luar negara serta aktiviti berkaitan transit.

Selain itu, pengguna boleh menerima diskaun 30 peratus untuk perjalanan KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

Menurut CIMB, pulangan tunai 20 peratus itu boleh dinikmati pada pengangkutan awam Malaysia seperti tren penumpang termasuk Keretapi Tanah Melayu (KTM),Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Katanya, ia juga terpakai di seluruh Malaysia untuk teksi, perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan pengangkutan bas melalui EasyBook dan Redbus, antara lain.

“Banyak tol lebuh raya termasuk Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) serta bayaran tol jambatan, termasuk kedua-dua Jambatan Pulau Pinang, Tambak Johor-Singapura dan Link Kedua Malaysia-Singapura layak.

“Jenis perkhidmatan pengangkutan lain seperti Kereta Kabel Langkawi turut disertakan.

“Di luar negara, kempen pulangan tunai 20 peratus meluas ke pelbagai pilihan pengangkutan di negara lain, seperti pengangkutan awam, teksi, e-hailing, kereta api dan bas termasuk Gojek, Uber, Eurostar, JR Railway serta tol dan jambatan di lokasi terpilih,” katanya dalam kenyataan.

Pengguna KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan menikmati diskaun 30 peratus untuk kedua-dua perjalanan tunggal dan pergi balik.

Faedah Kad Debit Visa CIMB menawarkan akses yang lebih besar kepada pengangkutan awam dan menyediakan penyelesaian kos efektif untuk keperluan harian, dengan menyedari bahawa kemudahan mobiliti adalah penting dalam persekitaran perniagaan dan peribadi hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank, Gurdip Singh Sidhu berkata, manfaat pulangan tunai daripada Kad Debit Visa CIMB memberi pengguna nilai yang lebih besar apabila menggunakan kad mereka untuk keperluan pengangkutan harian yang penting.

Beliau berkata, membantu pelanggan memperluaskan lagi ringgit mereka adalah contoh bagaimana bank menghidupkan tujuan CIMB untuk memajukan pelanggan dan masyarakat.

“Kempen ini menggalakkan lebih banyak penggunaan kad debit dalam rangkaian pilihan pembayaran yang semakin luas yang tersedia di seluruh Malaysia dan rangkaian pengangkutan di rantau ini.

“Kami menawarkan faedah tambah nilai berterusan dan ganjaran yang meningkatkan pengalaman pelanggan kami dalam transaksi harian seperti pengangkutan di dalam negara mahupun di luar negara,” ujarnya.

Kempen pulangan tunai 20 peratus Kad Debit Visa CIMB akan berlangsung sehingga 31 Disember 2025.

Diskaun 30 peratus Kad Debit Visa CIMB untuk KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan berlangsung sehingga 31 Ogos 2025. – UTUSAN