PETALING JAYA: Setiap parti politik tempatan di Sabah mempunyai hak untuk mengadakan perbincangan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu tidak lama lagi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau tidak mengetahui sebarang perundingan yang dijalankan oleh PH, malah tiada kuasa untuk menghalang sebarang perbincangan jika turut melibatkan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Saya tidak pernah rasa tersepit dalam membuat sebarang keputusan kerana dalam politik ini mesti perlu ada jalan keluar. Kalau ada yang rasa tersepit, ia menunjukkan seseorang pemimpin itu tidak berkaliber.
“Untuk BN, kami sudah nyatakan pendirian yang akan bekerjasama PH tetapi jika PH ada perancangan untuk bekerjasama dengan GRS, itu perundingan dengan mereka, bukan dengan kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin di mana BN perlu menjernihkan hubungan dengan GRS kerana tidak mahu pertelingkahan dua pihak ini menyebabkan PH tersepit di tengah dan seterusnya menyukarkan gerak kerja daripada segi jentera ketika pilihan raya berlangsung.
Kenyataan Razeef itu susulan respon dari Bung Moktar sebelum ini yang mengumumkan kerjasama dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN Sabah.
Bagaimanapun, Bung Moktar berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik tempatan seperti yang dinyatakan sebelum ini.
“UMNO Sabah bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, asalkan parti itu ikhlas. Kalau tidak ikhlas, beratlah untuk kami pertimbangkan bagi menjalinkan kerjasama.
“UMNO buat kenyataan itu maksudnya kami buka pintu kerjasama, tetapi tidaklah buka seluas-luasnya, kami juga tidak tutup sesempit-sempitnya,” ujarnya lagi.
Mengulas secara spesifik adakah BN menerima dengan baik jika bekerjasama dengan GRS, Bung hanya menjawab ringkas no komen (tidak ada komen).-UTUSAN.