KUALA LUMPUR: Sektor insurans perlu menanggung kerugian mencecah RM4.5 bilion sekiranya kos rawatan perubatan terus meningkat. Persatuan Takaful Malaysia (MTA) pula menjangkakan, industri takaful berpotensi kerugian sebanyak RM800 juta.
Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengehadkan peningkatan premium tahunan bagi produk insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) kurang daripada 10 peratus bagi lebih 80 peratus pemegang polisi untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Mark O’Dell berkata, sebelum pandemik Covid-19, kadar kemasukan hospital dalam kalangan pemegang polisi adalah sekitar seorang bagi setiap 100 orang setahun.
Katanya, angka itu melonjak kepada 25 orang bagi setiap 100 pemegang polisi tahun lalu, sekali gus memberi tekanan besar terhadap pengendali insurans dan takaful.
“Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan kadar tuntutan secara mendadak dan menjejaskan daya tahan kewangan syarikat insurans dalam jangka panjang,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri LIAM di sini, semalam.
Pada Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan langkah BNM menangguhkan pelarasan premium dan pengagihan kadar pelarasan bagi MHIT sehingga akhir 2026. Ia bagi mengimbangi keperluan perlindungan kesihatan mampu milik bagi pengguna.
Tambah O’Dell, selain pelan asas, industri turut meneliti keperluan menstruktur semula mekanisme caj rawatan hospital agar lebih telus dan adil kepada pengguna.
“Pada masa ini, hospital mengenakan caj berdasarkan perkhidmatan yang diberikan (fee for service) dan ini boleh menimbulkan konflik kepentingan antara penyedia perkhidmatan dan pihak pembayar (insurans).
“Kita sedang beralih kepada model harga berdasarkan kumpulan berkaitan diagnostik (DRG) iaitu satu kadar tetap yang diselaras mengikut diagnosis dan tahap keseriusan penyakit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd. Radzuan Mohamed dalam Taklimat Media Prestasi Industri Takaful 2024 berkata, had yang bertujuan meringankan beban kewangan pemegang polisi memberi cabaran besar kepada industri.
“Kami memahami kebimbangan orang ramai terhadap kenaikan premium, namun isu asasnya ialah peningkatan kos rawatan perubatan.
“Untuk menampung kos yang semakin meningkat ini, pelarasan premium adalah perlu.
“Kami berharap akan ada lebih banyak inisiatif yang membawa kepada pendekatan inovatif untuk menjadikan perlindungan perubatan lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN