KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling mempersoalkan keputusan Pemilihan PKR Cabang Kangar baru-baru ini yang turut menyaksikan dirinya tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang.
Hal demikian katanya, hanya dirinya sahaja yang tewas di sebalik semua calon daripada pasukannya bagi jawatan timbalan, naib dan seluruh ahli jawatankuasa termasuk sayap wanita menang.
Timbalan Pengerusi PKR negeri itu tewas kepada penyandang, Noor Amin Ahmad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri dalam pemilihan parti itu Sabtu lalu dengan perbezaan 236 undi.
Manakala calon-calon dari kem Ay Ling yang menang khususnya bagi jawatan naib ketua cabang dan seluruh barisan ahli jawatankuasa dengan margin perbezaan undi agar besar iaitu antara lebih 100 sehingga 265 undi.
Sambil menyifatkan perkara itu sebagai magic, Ay Ling akan mengemukakan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung keputusan pada pemilihan tersebut.
Katanya, situasi tersebut juga difahamkan berlaku di beberapa cabang lain apabila ketua tewas di sebalik calon pasukan mereka menang.
“Secara peribadi, saya terkejut dengan keputusan ini selepas semua calon daripada pasukan saya menyapu bersih semua jawatan dipertandingkan, sedangkan saya tewas.
“Ia tidak logik dan saya akan buat rayuan untuk semakan semula keputusan tersebut jika berlaku kesilapan. Situasi itu, juga berlaku di sesetengah cabang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pemilihan parti itu Sabtu lalu, Noor Amin berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Ketua PKR cabang Kangar selepas sekali lagi menewaskan Ay Ling bagi jawatan itu.
Bagaimanapun, calon daripada kem Noor Amin termasuk bagi jawatan timbalan, naib, Ketua Wanita dan ahli jawatankuasa cabang Kangar yang bertanding dalam pemilihan itu tewas.
Ay Ling berkata, beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam pemilihan kali ini terutamanya penyokong barisan pasukannya.
“Saya bangga kerana kesemua barisan calon cabang pasukan kami tidak termasuk saya dan calon wanita cabang kami menang dalam pemilihan ini.
“Ini sudah memuaskan saya kerana dapat melaksanakan tanggungjawab saya sebagai calon ketua cabang walaupun saya seorang diri yang kalah,” katanya.-UTUSAN.