TAPAH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir akur dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melarang penggunaan jentera kerajaan ketika kempen pilihan raya.
Mohamad Yusri, 54, berkata, sebagai calon, dia dan pasukannya mengambil maklum ketetapan itu sekali gus meletakkan keyakinan penuh pada kekuatan jentera parti dalam melaksanakan kempen.
Menurut beliau, dengan gerak kerja dan usaha bersungguh-sungguh jentera parti menyantuni akar umbi dan pengundi, ia mampu membantu mengekalkan kemenangan BN di Ayer Kuning.
“Apa yang disebut oleh Perdana Menteri itu kami sokong. Kami tidak akan menggunakan jentera kerajaan ketika berkempen dan sudah pasti kami akan mematuhi apa yang telah digariskan oleh kerajaan
“Saya yakin atas usaha bersungguh-sungguh dan penerimaan baik masyarakat, insya-Allah kami boleh capai apa yang dihajati (kemenangan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Air Kuning, di sini semalam.
Menurut Mohamad Yusri, beliau menerima maklum balas positif penduduk sekitar DUN Ayer Kuning ketika hadir menyantuni mereka melalui program dianjurkan.
Jelasnya, dalam tempoh lima hari kempen, kebanyakan isu yang dibangkitkan adalah berkaitan infrastruktur yang dilihat perlu diberikan perhatian.
“Selain itu, kami juga ada menjalankan kempen dari rumah ke rumah. Kami bukan hanya beri tumpuan kepada rumah yang mungkin didiami orang uzur malah individu berpengaruh yang dapat membantu memperkukuhkan kempen,” katanya.-UTUSAN.