SHAH ALAM: Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) mensasarkan untuk sekurang-kurangnya layak beraksi di pentas final dalam Super School Rugby (SSR) 2025 yang akan membuka tirai saingannya pada Mei ini.
Turun selaku juara bertahan, SEMASHUR diundi dalam Kumpulan A bersama Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar (STJ) dan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS).
Mengulas lanjut, ketua jurulatih ragbi 15 sebelah SEMASHUR, Mohd Hafizul Saiful Anuar mengakui tugas berat menantinya pada pusingan awal kejohanan selepas diletakkan dalam kumpulan maut.
“Kumpulan kami itu boleh dikatakan kumpulan maut. Kita cuba yang terbaik malah kami sudah berikan yang terbaik sebelum ini. Kami akan berjuang habis-habisan dan insyaAllah kami akan cuba mempertahankan kejuaraan.
“Namun, sekurang-kurangnya kami mahu berada di pentas final untuk kali kelima, itu sasaran kami. Bonus kalau kami dapat mempertahankan kejuaraan untuk kali ketiga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis cabutan undian peringkat kumpulan SSR 2025 di sini hari ini.
SEMASHUR muncul juara selepas menewaskan wakil sekolah dari Johor, English College dengan keputusan 41-21 di Stadium UiTM Shah Alam pada Ogos lalu.
Mereka sebelum itu turut layak ke final pada edisi 2023 namun dikecewakan oleh Victoria Institution dari Kuala Lumpur.
Kali pertama mereka beraksi di pentas akhir pada 2018 namun kalah kepada Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum muncul juara pada tahun berikutnya dengan menewaskan lawan yang sama. – UTUSAN