Calon BN lengkapkan lawatan di semua PDM

Politik

TAPAH: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang memasuki hari keenam menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir hampir selesai melawat kesemua 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Mohamad Yusri yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu perlu melengkapkan lawatan pada minggu pertama sebelum diteruskan untuk pusingan kedua.

Katanya, lawatan ke setiap PDM itu bagi memastikan kelancaran gerak kerja jentera yang akan membantu mengekalkan kemenangan di kawasan berkenaan.

“Saya telah beritahu calon supaya kempen di kesemua 20 PDM ini perlu diselesaikan dalam minggu pertama dan minggu kedua ulang semula.

“Perkara itu juga saya telah maklumkan kepada isteri Mohamad Yusri seawal hari penamaan calon lagi. Saya rasa sikit lagi (melawat PDM) kalau tidak pergi pun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Batu Tiga, Ayer Kuning di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata, kaedah yang diguna pakai UMNO dengan meletakkan jentera berlapis di setiap PDM akan membantu memperkuatkan kempen dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya yang diadakan.

Katanya, tiga lapisan itu membabitkan jentera tempatan di peringkat pertama dengan peringkat kedua terdiri daripada bahagian angkat dan jentera negeri angkat bagi lapisan ketiga.

“Kaedah berlapis ini bukan sahaja mengoptimumkan pembahagian tugas malah membantu sekiranya ada jentera yang keletihan. Misalnya, jika jentera tempatan letih, jentera wanita dari bahagian angkat akan bantu.

“Dengan gerak kerja dan penyusunan jentera yang baik, saya mempunyai keyakinan bahawa kita boleh menang di Ayer Kuning. Cuma yang perlu difikirkan adalah bagaimana untuk kita keluarkan seramai pengundi pada 26 April ini,” katanya. – UTUSAN