KUALA TERENGGANU: Kira-kira 81 peratus daripada 7,240 ahli PKR Terengganu selesai menunaikan tanggungjawab mereka dengan mengundi secara dalam talian hari ini.
Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pusat, Muhammad Naqib Nasaruddin berkata, proses pemilihan secara fizikal juga berjalan lancar.
“Alhamdulillah, semuanya selesai dengan baik tanpa ada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
“Untuk ahli yang keluar mengundi secara fizikal pula seramai 200 atau 45 peratus daripada 445 ahli telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 12.30 tengah hari ini,” katanya hari ini
Seramai 7,685 ahli PKR daripada tujuh cabang di seluruh Terengganu layak mengundi dalam sesi pemilihan kali ini.
Tambahnya, keputusan pemilihan akan diumumkan oleh JPP secepat mungkin. – UTUSAN