SEREMBAN: Kisah bekas atlet sukan renang paralimpik yang jasanya seakan dilupakan mendapat perhatian apabila dilantik sebagai jurulatih Persatuan Renang Para Negeri Sembilan.
Zul Amirul Sidi Abdullah, 53, yang terharu dengan pelantikan itu menyifatkan ia sebagai impian menjadi kenyataan.
“Terima kasih kepada semua dan inilah yang saya nanti-nantikan selama ini.
“Saya bukannya mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi sebelum ini sedikit berkecil hati kerana rasa seperti dilupakan, mungkin juga orang tak tahu masalah saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi (PPR Paroi) di sini semalam.
Beliau sebelum itu menerima kunjungan daripada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagor.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Ahmad Syariffuddin Sarmin bersama pegawainya serta Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed.
Kisah Zul Amirul itu telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.
Bapa kepada lima anak itu berkata, dengan pengalamannya selama 17 tahun dalam sukan renang, banyak yang boleh dikongsi untuk melahirkan barisan pelapis atlet sukan renang paralimpik Negeri Sembilan.
“Saya tidaklah kata yang saya ini pandai sangat, tapi saya dah buktikan kejayaan saya sebagai bekas atlet dan sekarang saya nak berkongsi kemahiran yang ada.
“Terima kasih kerana ketengahkan cerita saya dan terima kasih kepada Datuk Mustapha kerana menjenguk saya. Bukan nilai bantuan yang saya pandang, tetapi hati lebih terubat apabila ada orang ingat kita, jenguk pun sudah cukup,” katanya.
Sementara itu, Mustapha berkata, dia mewakili pimpinan kerajaan negeri turun padang menyantuni Zul Amirul bagi menyampaikan sagu hati kepadanya sekali gus melihat sendiri keadaan atlet paralimpik tersebut.
“Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) sendiri bertanyakan perkara ini dan ia dibincangkan dalam mesyuarat exco yang lalu.
“Kita hendak beritahu yang dia tidak berseorangan dan sumbangan diberi sebagai menyuntik semangatnya dan difahamkan dia juga sudah menerima surat pelantikan sebagai jurulatih atlet para,” katanya.
Beliau berpendapat, Zul Amirul mempunyai semangat dan minat yang tinggi dalam sukan dan adalah satu kerugian sekiranya pengalamannya tidak digunakan untuk melahirkan pelapis sukan renang para.
“Kemungkinan pihak-pihak tertentu terlepas pandang dengan kemampuan yang ada pada Zul Amirul, tetapi apabila dilaporkan ia telah membuka peluang.
“Kami di peringkat kerajaan negeri boleh beri ruang dan peluang kepada Zul Amirul untuk terus melahirkan atlet renang,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan jasa bekas atlet sukan renang paralimpik kebangsaan bagaikan dilupakan terus walaupun namanya pernah dijulang selepas mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa suatu ketika dahulu.
Zul yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal dengan kecacatan dari aras pinggang ke kaki telah bersara pada 2017 dan kini mendakwa dirinya tidak dihargai. – UTUSAN