Pengundi luar mahu pulang mengundi – Saravanan

Politik

TAPAH: Semua pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang merantau atau berada di luar kawasan diminta pulang untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 April ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tapah, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jentera parti giat menggerakkan usaha ‘membawa pulang’ pengundi luar khususnya yang dikenal pasti sebagai pengundi putih.

Katanya, langkah itu diambil sebagai strategi awal untuk memastikan kehadiran maksimum kumpulan yang cenderung menyokong calon BN.

“Kita telah mengenal pasti pengundi putih dan sebahagian besarnya memberitahu mereka rela datang (pulang).

“Walaupun baru pulang ke kampung halaman untuk hari raya, mereka mahu balik untuk tunaikan hak. Kecuaian dan kegagalan mereka ini mungkin akan beri laluan kepada pihak lain,” katanya ditemui pemberita pada Kejohanan Bola Sepak Grassroots U8, U10, U12 Piala Datuk Seri M Saravanan di Stadium Tun Ahmad Sarji di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon BN PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Menurut Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah, BN optimis meraih kemenangan dengan majoriti selesa pada pilihan raya kali ini selepas berkempen secara aktif pada pusingan pertama sejak hari penamaan calon 12 April lalu.

Katanya, keyakinan itu bersandarkan kekuatan jentera sedia ada di bawah kepimpinan BN selain sokongan parti-parti lain dalam kerajaan Perpaduan.

“Setelah lapan hari kempen di seluruh kawasan DUN Ayer Kuning dengan melihat kesungguhan jentera parti dan sokongan jentera parti luar serta program angkat di setiap PDM, saya yakin BN akan menang dengan majoriti yang amat memuaskan,” katanya.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, Mohamad Yusri yang juga Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – UTUSAN