PETALING JAYA: Pemain boling negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malik memasang impian untuk menjulang kejuaraan Terbuka Malaysia pada aksi final esok.
Menurut Syafik, sekiranya berjaya merealisasikan impian tersebut, ia akan menjadi hadiah istimewa buat dirinya sebelum bersara daripada arena kompetitif.
Atlet berusia 39 tahun itu juga mengakui prestasinya berada pada tahap terbaik dengan persiapan rapi dari segi peralatan, strategi dan juga keadaan fizikal.
“Bila saya berada dalam kelompok empat teratas, saya dapat ‘bye’ untuk pusingan pertama. Jadi, Alhamdulillah saya main dengan baik dan melonjak ke tempat kedua.
“Dengan itu, saya terus layak ke final stepladder pada Ahad. Sekarang saya hanya fokus untuk rehat dan buat persediaan ke pusingan akhir,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mengulas mengenai prestasinya, Syafiq berkata beliau berjaya mencatat 764 jatuhan pin dalam tiga permainan sekaligus merupakan petanda positif menjelang pusingan akhir nanti.
“Saya rasa pemilihan bola, line-up dan semua persiapan berjalan lancar. Dari segi permainan, saya berada dalam kondisi terbaik sekarang,” jelas Syafiq yang kali terakhir meraih kejuaraan di pentas antarabangsa pada 2017 di Terbuka Macau.
Meskipun pernah muncul juara kejohanan luar negara, Syafiq masih belum pernah menjulang kejuaraan di laman sendiri yang menjadi sesuatu yang ingin direalisasikannya.
“Saya dah menang banyak kejohanan luar, tapi belum pernah menang Terbuka Malaysia . Tahun lepas saya nombor dua. Jadi, sebelum saya bersara, ini peluang terbaik untuk saya.
“Saya tak boleh nak cakap bila saya akan bersara, tapi boleh kata ini adalah hujung-hujung karier saya sebagai pemain kebangsaan,” katanya.
Dalam masa sama, Syafiq turut memuji rakan sepasukannya yang menurutnya berada pada tahap yang seimbang dari segi prestasi dan pengalaman.
“Kita semua lebih kurang saja. Siapa yang boleh deliver pada hari final itu yang akan jadi juara,” ujarnya.