Najwa Zara kejutkan pilihan pertama, Rania menjuarai Terbuka SRAFTKL

Sukan

PETALING JAYA: Pemain remaja negara, Najwa Zara Mohd Fakhrur Razi mencipta kejutan selepas menyingkirkan pilihan pertama, Ayesha Rania Syed Humaiyun Kebir pada final Perempuan Bawah-19 Tahun Kejohanan Skuasy Antarabangsa Terbuka Remaja SRAFTKL Touch ‘n Go di ibu negara, hari ini.

Najwa yang berusia 16 tahun, tetapi, beraksi di dalam kategori Bawah-19 Tahun, menewaskan seniornya itu dalam pasukan Kuala Lumpur menerusi kemenangan 9-11, 17-15, 12-10, ,11-4 di Pusat Skuasy Nasional, Jalan Duta.

Penuntut Sekolah Sukan Bukit Jalil itu ketika ditemui pemberita berkata, dia sama sekali tidak menduga berjaya menghadirkan kejutan ke atas Rania.

“Bagi saya Rania seorang pemain yang sangat kuat, kekalahan dalam set pertama telah membuat saya lebih bersemangat untuk kejar dan berusaha mengekalkan rentak permainan yang lebih konsisten,” katanya.

Najwa yang memenangi pingat perak pada Kejohanan Berpasukan Remaja Asia di Hong Kong, Februari lalu berkata, dia berusaha mengurangkan kesilapan dan hantaran bola ke belakang gelanggang serta di sudut sempit berjaya memerangkap pencabarnya.

Sementara itu, dalam saingan akhir Lelaki Bawah-19 Tahun, pemain Sarawak, Altamis Aqhar Sallam A Sufian menewaskan Kreethi Pillay dari Pulau Pinang 11-6, 11-7, 2-11, 11-8.

“Alhamdulillah saya menang, saya cuba mengekalkan tahap keyakinan saya dan memberi motivasi kepada diri sendiri bagi mengejar kemenangan ini,” kata Altamis Aqhar ketika ditemu bual selepas perlawanan.

Bagi final kategori Perempuan Bawah-17 Tahun pula yang turut menyaksikan pertembungan dua wakil Kuala Lumpur berkesudahan T. Dakshayani menundukkan Ooi Wen Min 9-11, 11-3, 11-7, 11-2.

Dalam kategori lelaki di peringkat usia sama, Aqil Mirza Naim Khairil Fariz dari Kedah mengetepikan Erwin Kros Christopher dari Selangor menerusi kemenangan straight set 11-9, 11-5, 11-6.

Dalam pada itu, untuk kategori perempuan dan lelaki Bawah-15 Tahun, gelaran Terbuka SRAFTKL menjadi milik pemain Selangor, Niea Chew serta Mathew Leung dari United Kingdom.

Niea mengalahkan wakil China, Yin Zhiyuan 13-15, 11-3, 11-4, 11-7, manakala, Mathew menumpaskan Simarver Singh Bamotra dari Selangor 11-7, 5-11, 11-7, 11-8. – UTUSAN