SEREMBAN: Menduduki tangga keempat keseluruhan dalam aksi Liga Super musim ini tetap memuaskan hati ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak.
Pengendali berasal dari Singapura itu berkata, walaupun berdepan prestasi turun naik di awal musim namun perubahan yang dibuat ketika jendela perpindahan kedua telah mengubah prestasi pasukan secara keseluruhan.
“Terima kasih kepada pemain, pengurusan dan peminat. Awal musim ada turun naik kerana kecederaan dan sebagainya, tetapi kita dapat atasi.
“Perpindahan pemain pada jendela kedua ternyata memberi impak positif kepada prestasi pasukan kerana kita menghadapi liga yang panjang,” katanya kepada pemberita selepas aksi terakhir Liga Super bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini semalam.
Pada perlawanan itu, Kuching City menang dengan keputusan 3-1 hasil dua jaringan oleh Jordan Mintah dan Petrus Shitembi manakala A. Selvan menjaringkan gol saguhati buat tuan rumah.
Selepas mengharungi 24 perlawanan, Kuching City mengumpul 39 mata keseluruhan berbeza satu mata dengan pasukan yang berada di tangga ketiga, Sabah FC yang mengutip 40 mata.
Sementara itu, pengendali Negeri Sembilan FC, K. Nanthakumar menyerahkan kepada pihak pengurusan mengenai masa depannya dengan pasukan Hobin Jang Hobin itu namun mengakui bersedia menawarkan khidmatnya semula.
Jelasnya, setakat ini pihak pengurusan masih belum mengadakan sebarang perbincangan dengannya.
“Tahun ini saya hanya jurulatih caretaker (sementara) dengan pemain termasuk pemain import sedia ada, jika diberikan peluang kedua musim hadapan, saya mungkin akan ubah pemain, bagi saya lantik jurulatih dahulu dan jurulatih boleh pilih pemain,” katanya.
Selepas perlawanan semalam, Negeri Sembilan menamatkan aksi Liga Super musim ini di tangga kedua tercorot dengan hanya memperoleh 16 mata hasil empat kemenangam dan empat kali seri. – UTUSAN