PR1MA lancar M-Niaga, pacu ekonomi komuniti

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), agensi perumahan mampu milik utama di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan unit komersial M-Niaga untuk memperkasa sosioekonomi komuniti tempatan.

Melalui inisiatif M-Niaga ini, PR1MA menyediakan sebanyak 256 unit komersial dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM160.15 juta untuk menyokong perniagaan kecil dan sederhana dalam kawasan kediaman PR1MA.

Unit-unit komersial M-Niaga terletak di Selangor, Perak, Melaka, Kedah, Kelantan, Johor, Sabah, dan Sarawak dengan harga bermula daripada RM289,800.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PR1MA, Datuk Seri Mohd. Nazri Md. Shariff berkata, M-Niaga adalah sebahagian daripada aspirasi PR1MA untuk membentuk komuniti yang berkembang dan berdaya tahan dari segi ekonomi selari dengan prinsip komuniti “Saku” PR1MA, yang memberi penekanan kepada pembangunan sosioekonomi komuniti PR1MA.

“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen PR1MA dalam melangkaui peranan utamanya sebagai penyedia kediaman mampu milik berkualiti, ke arah menjadi pemacu pembangunan komuniti yang dapat meningkatkan taraf hidup penduduk secara menyeluruh.

“Pelancaran M-Niaga adalah bukti komitmen PR1MA dalam memperkasakan komuniti melalui penyediaan peluang ekonomi yang mampan.

“Kami percaya bahawa inisiatif ini amat penting dalam meningkatkan taraf hidup penduduk dan mewujudkan ekosistem perniagaan yang berdaya saing, selari dengan matlamat kami untuk menyediakan pembangunan bersepadu yang inklusif dan mampan”, katanya dalam kenyataan.

Berkeluasan di antara 689 kaki hingga 5,803 kaki persegi, unit-unit ini menampilkan reka bentuk fleksibel dan susun atur praktikal, sesuai untuk pelbagai jenis perniagaan.

Lokasi-lokasi terpilih yang strategik dan berhampiran kawasan yang berkembang pesat juga akan menjamin aliran trafik dan keterlihatan yang optimum kepada peniaga.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, usaha PR1MA dalam melancarkan M-Niaga adalah selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kualiti kehidupan Rakyat, serta menggalakkan pembangunan fizikal dan sosioekonomi tempatan.

“Saya percaya M-Niaga bukan sahaja berpotensi membentuk komuniti yang lebih kondusif, malah dapat mewujudkan suasana perniagaan yang lebih inovatif dan berdaya saing, terutamanya untuk perniagaan kecil dan sederhana”, katanya. – UTUSAN