UMNO sudah lali drama lompat parti

Politik

TAPAH: Tindakan pemimpin UMNO meninggalkan parti ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) berlangsung tidak memberi kesan kepada perjalanan kempen calon yang bertanding.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, UMNO sudah lali dengan drama politik sedemikian malah ia sama sekali tidak menggugat sokongan akar umbi.

Katanya, berdasarkan pengalaman, penyertaan pemimpin besar UMNO dalam parti lain tidak membawa apa-apa perubahan yang signifikan kepada UMNO.

“Kita ada pengalaman sebab orang-orang besar UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa yang pernah menjadi Ketua Penerangan parti dan sertai Pas, tidak bawa apa-apa perubahan.

“Malah, ketika PRK Nenggiri kita boleh rampas kerusi (Dewan Undangan Negeri) di negeri Pas sendiri. Walaupun (Annuar) adalah pengarah pilihan raya, tapi kita boleh menang.

“Tiada beza juga dengan Datuk Seri Shahidan Kassim yang menjadi Menteri Besar semasa zaman kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika ditemui pada program ‘Jom belajar’ pelajar sekolah DUN Ayer Kuning-Tabung Pendidikan Melayu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Keramat di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon BN PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Menurut Mohd. Puad, beliau enggan mengulas berkaitan tindakan ‘lompat parti’ terbaharu oleh Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin namun yakin ia tidak memberi kesan kepada peluang BN pada pilihan raya kali ini.

“Saya tidak mahu memperkecilkan tapi saya yakin dia tidak beri kesan kerana UMNO sudah lali dengan orang-orang yang melompat apa lagi ketika pilihan raya kecil.

“Secara moralnya kalau nak melompat pun tak payahlah pilih waktu macam ini, tapi itu hak dia. Saya dan jentera UMNO pun tak ada bincangkan perkara itu,” katanya.

Wan Norashikin yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah selama dua penggal itu menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) PRK DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat dekat sini, kelmarin.

Beliau yang hadir berjubah hitam dan berniqab ditemani suaminya iaitu Setiausaha Pas Kawasan Tapah, Muhammad Noor Farid Zainal. – UTUSAN