Teruja pertama kali mengundi sebagai penjawat awam

Politik

TAPAH: Seorang anggota polis, Konstabel Muhammad Azizie Haqqiem Azman, 22, teruja mengundi kali pertama sebagai penjawat awam di pusat pengundian awal Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pagi ini.

Beliau melaksanakan kewajipannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada pukul 8.20 pagi tadi.

“Pertama kali mengundi awal jadi agak gementar sikit tetapi perlu sedar menunaikan kewajipan untuk negara.

“Selain itu, golongan muda perlu menunjukkan contoh dengan datang awal untuk mengundi bagi kemajuan ekonomi dan masa depan negara,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati, sebaik sahaja pusat pengundian dibuka, anggota polis mengundi bagi PRK DUN Ayer Kuning.

Beberapa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiba lebih awal selain kawalan keselamatan polis bagi melancarkan proses pengundian.

Hanya satu saluran disediakan kepada anggota polis dan pasangan mereka di dewan ini.

Berdasarkan data daftar pemilih SPR, seramai 27 anggota polis serta pasangan akan mengundi awal di pusat mengundi ini.

Pusat mengundi ini dijangka akan ditutup pada pukul 12 tengah hari ini kerana jumlah pemilih yang sedikit.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abd.Muhaimin Malek dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

SPR menetapkan hari pengundian awal hari ini sementara hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih. – UTUSAN