PEOPLElogy sasar raih RM26.25 juta melalui IPO di Pasaran ACE

Perniagaan

KUALA LUMPUR: PEOPLElogy Berhad (PEOPLElogy) menyasarkan mengumpul hasil sebanyak RM26.25 juta melalui terbitan 105 juta saham biasa baharu pada harga 25 sen sesaham melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

Tempoh permohonan IPO akan ditutup pada 6 Mei ini dan syarikat dijangka disenaraikan pada 20 Mei.

Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 411.7 juta saham dan harga IPO tersebut, permodalan pasaran syarikat dianggarkan sekitar RM102.93 juta.

Pengarah Pengarah Urusan PEOPLElogy Berhad, Allen Lee berkata, PEOPLElogy bersiap sedia untuk mengembangkan syarikat melalui rancangan dan strategi perniagaan sedia ada.

“PEOPLElogy berhasrat untuk melakukan ini dengan menubuhkan makmal simulasi Cybercurity untuk memperbanyak komputer simulasi Cybercure.

“Ini termasuk peningkatan jumlah ancaman siber dan pelanggaran data yang menjejaskan individu, terutamanya organisasi di Malaysia,” katanya semasa majlis pelancaran prospektus syarikat di sini, semalam.

Hasil daripada IPO akan diperuntukkan sebanyak 32.38 peratus daripada hasil tersebut untuk membiayai penubuhan makmal simulasi komputer Cyber Range, 15.24 peratus untuk pengembangan melalui pelaburan strategik, peluang Penggabungan dan Pengambilalihan (M&A) dan 11.43 peratus untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) perisian.

Sebanyak 11.05 peratus untuk pengembangan pejabat dan pusat latihan di Indonesia dan Filipina, 3.81 peratus untuk pengembangan pejabat dan pusat latihan di Malaysia Timur dan 0.38 peratus untuk penubuhan pejabat serantau di Singapura.

Baki hasil selebihnya akan digunakan untuk modal kerja am dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Allen Lee berkata, pihaknya menyedari keadaan pasaran yang agak tidak menentu ketika menuju ke arah penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia.

“Setakat ini, tarif tidak memberi kesan kepada kami walaupun keadaan pasaran tidak menentu.

“Namun, matlamat kami tetap jelas, iaitu untuk disenaraikan agar dapat melangkah ke perancangan yang lebih besar, khususnya memperkukuh kedudukan dalam bidang keselamatan siber di rantau Asia Tenggara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan menubuhkan pusat latihan baharu di Kota Kinabalu dan Kuching dalam tempoh 12 bulan akan datang serta pejabat serantau baharu di Indonesia, Filipina dan Singapura.

“Kami melihat Malaysia Timur sebagai satu peluang keemasan. Pemegang taruh perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke kerajaan (B2G) tempatan amat mengalu-alukan penyedia yang komited untuk membina saluran bakat digital.

“PEOPLElogy telahpun mengadakan perbincangan dengan pelbagai pemegang taruh di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Kenanga Investment Bank Berhad merupakan Penasihat Utama, Penaja Jamin, dan Ejen Penempatan bagi IPO itu. – UTUSAN