IPOH: Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria pernah berpeluang untuk bertindak terhadap ladang-ladang babi yang menjadi topik hangat Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, Razman mempunyai kuasa semasa memegang portfolio pertanian sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2022.
“Semasa dia jadi Exco, dia ada peluang keemasan. Sebab Exco pertanian yang bertanggungjawab terhadap ladang-ladang khinzir ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sivanesan berkata, ladang babi berjaya dikurangkan daripada 115 pada hujung tahun 2022 kepada 85 buah ketika ini.
Malah katanya, pihak kerajaan negeri kini giat menjadikan setiap ladang babi beroperasi secara sah berlesen serta mengamalkan konsep moden (modern pig farming) termasuk mempunyai zon penampan (buffer).
“Kalau ladang-ladang ini tiada lesen, esok pun boleh diarahkan tutup. Kalau sebelah masjid, esok pun boleh tutup, tetapi pastikan ia memang tidak berlesen,” katanya.
Semalam semasa menggulungkan portfolionya dalam persidangan DUN Perak, Sivanesan berkata kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang pembukaan ladang babi baharu di kawasan yang dikenal pasti sebagai majoriti penduduk Melayu Islam.
Dalam sidang akhbar juga, beliau menunjukkan peta bagi menerangkan kedudukan sebuah ladang babi yang berada jauh daripada kawasan kampung berbanding sepertimana dakwaan. – UTUSAN